Perak Hari Ini

Perak anjur Hari Bertemu Pelanggan Bersama SPA tarik minat bukan Melayu sertai sektor awam

Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan masyarakat Cina dalam sektor perkhidmatan awam, kerajaan negeri akan menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan Bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK), mulai jam 8 pagi hingga 1 petang esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kebanyakan ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang pasti mengenai faedah yang ditawarkan apabila menyertai sektor awam.

“Program ini difokuskan kepada masyarakat Cina di Perak dengan tujuan menyampaikan maklumat berkaitan pengambilan pegawai SPA selain menarik minat mereka menyertai sektor awam.

“Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa dan pelajar lepasan SPM tentang keistimewaan menyertai SPA kerana ramai yang tidak tahu mengenai faedah yang ditawarkan kepada pekerja sektor awam.

“Melalui program itu juga, orang ramai boleh mendapat maklumat daripada sesi dialog yang akan diadakan manakala pelajar lepasan SPM boleh terus mendaftar dengan SPA untuk mengisi kekosongan kerja yang ditawarkan mengikut kelulusan,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Dalam perkembangan berkaitan, SPA negeri katanya, menawarkan 21 jawatan tetap untuk diisi termasuk pegawai pendidikan siswazah dan setiausaha pejabat selain empat lagi jawatan yang akan diiklankan kerajaan Perak.

“Saya berharap ibu bapa dan pelajar lepasan SPM tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan datang beramai-ramai ke Dewan Serbaguna, SUK mulai jam 8 pagi hingga 1 petang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");