Perak Hari Ini

Perak Cadang Sewa Pesawat Hantar 696 Pelajar Pulang Ke Mesir

Kerajaan negeri Perak bercadang menyewa sebuah pesawat bagi penghantaran pulang kesemua 696 pelajar dari negeri ini ke Mesir untuk menyambung pengajian mereka yang tergendala berikutan krisis politik di sana.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata menyewa pesawat merupakan kaedah terbaik bagi menghantar kesemua pelajar, namun ia tertakluk kepada keadaan semasa perkhidmatan yang disediakan.

“Selain itu, ada juga cadangan kita (supaya) menanggung (kos) sebanyak RM2,000 setiap pelajar bagi tiket penerbangan pulang. Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Perak, juga akan memberikan wang saku sebanyak RM500 bagi membantu mereka memulakan pengajian di sana,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pelajar terbabit di kediaman rasmi pada Sabtu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membelanjakan RM1.5 juta bagi menanggung kos tiket penerbangan pulang itu.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap kesemua bantuan dan kemudahan yang disediakan itu mampu meringankan beban ibu bapa dan pelajar berkenaan dapat menyambung pengajian mereka selepas kembali ke Mesir.

Beliau berkata proses penghantaran pulang pelajar berkenaan akan dilakukan secara sistematik dengan kerjasama persatuan pelajar dan kerajaan negeri, selain memastikan pegawai yang dilantik mampu memudahkan semua urusan tersebut.

Mengenai pembangkang yang menjadikan situasi pelajar Malaysia di Mesir itu sebagai isu bagi meraih kepentingan politik, Zambry berkata beliau berharap apa sahaja bantuan dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan demi kebaikan pelajar berkenaan tidak dipolitikkan kerana ia tidak mendatangkan faedah.

“Dalam keadaan ibu bapa yang mengalami kesusahan untuk menghantar anak-anak mereka pulang, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu mereka. Biarlah mereka (pembangkang) mahu politikkan usaha dan bantuan kerajaan ini kerana itu semua tidak mendatangkan manfaat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir Khairul Ashraf Mohd Khir bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak, terutama kerajaan negeri yang membantu segala urusan berhubung kesemua pelajar terbabit.

Pelajar Malaysia yang berada di Mesir dibawa pulang selepas beberapa siri demonstrasi jalanan di bandar utama Mesir, termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura sebelum Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");