Perak Hari Ini

Perak peruntuk RM 2 juta untuk pembangunan wanita

Kerajaan Perak menjadi negeri pertama yang bakal melancarkan peruntukan dana sebanyak RM2 juta khas untuk program pembangunan wanita menjelang akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman memberitahu peruntukan tersebut diberikan khas untuk program pendidikan, latihan dan pembangunan wanita terutamanya melibatkan isu pembuangan bayi.

Jelasnya, usaha itu antara initiatif kerajaan negeri dalam usaha membantu golongan wanita selain menggalakkan penglibatan kaum itu dalam pelbagai sektor korporat di negara ini.

“Program ini akan diperkembang sehingga ke peringkat akar umbi meliputi semua sekolah menengah, kolej dan universiti kerana sebagai penduduk Asia, kita terlalu malu untuk bercakap mengenai pendidikan seks.

“Kesemua program yang hendak dijalankan sudah disenarai pendek dan kita akan melancarkan ia selewat-lewatnya penghujung bulan ini,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini penglibatan wanita dalam pelbagai perkhidmatan sudah berada di peringkat yang membanggakan.

Malah, tambah Hamidah kemampuan seseorang wanita mengisi jawatan tertinggi perlu dilihat atas dasar kelayakannya dan bukanlah pelengkap kepada sistem kuota semata-mata.

Justeru, beliau menyeru semua wanita supaya meningkatkan kebolehan masing-masing supaya lebih ramai lagi golongan itu yang akan dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator.

“Pencapaian wanita di Malaysia boleh dibanggakan kerana tiada diskriminasi gender di negara ini.

“Sehingga hari ini, wanita sudah memegang jawatan Gabenor Bank Negara, Naib Canselor universiti dan terdapat lima Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) yang telah dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hari Wanita Antarabangsa di Kolej Sunway Ipoh di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Perak, Srihartini Mohamed Shamsudin; Pengarah Kolej Sunway Ipoh, Paul Tan dan Presiden Perak Women for Women, Dr. Sharifah Halimah Jaafar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");