Perak Hari Ini

Perak sedia bantu selesai isu premium tanah

Kerajaan negeri bersedia mendengar rayuan sembilan sekolah persendirian Cina di Besout, Sungkai yang kini menghadapi kesukaran menyelesaikan bayaran premium tanah bernilai RM2 juta yang diberikan kerajaan kepada mereka sebelum ini.

Pengerusi Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, bayaran yang sepatutnya dijelaskan menjelang hujung bulan ini adalah mengikut standard premium sama yang dikenakan ke atas Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Yayasan Perak.

“Sekiranya tanah telah diberikan tetapi gagal dibayar premium, kerajaan negeri berhak untuk menarik balik.

“Namun, sudah pastinya kita tidak berniat untuk mewujudkan permasalahan kerana ia bukanlah penyumbang kepada hasil negeri, sebaliknya, ia lebih bertujuan meningkatkan taraf pendidikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama kesemua guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di negeri ini di sini hari ini.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengotakan janji apabila memberikan tanah seluas 1,012 hektar kepada sembilan sekolah persendirian Cina untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.

Pemberian tanah di Besout, Sungkai yang diuruskan oleh Semangat Suwa Sdn. Bhd. itu merupakan sebahagian daripada 3,642 hektar yang diperuntukkan untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Selain 2,023 hektar tanah untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), 607 hektar juga diperuntukkan kepada Yayasan Perak bagi menampung keperluan di sekolah-sekolah Tamil.

Tanah yang diperuntukkan itu akan diusahakan dengan kelapa sawit menerusi pihak yang dilantik sementara hasil- nya akan digunakan untuk kerja-kerja penambahbaikan di sekolah masing-masing.

Sementara itu, Hang Soon berkata, kerajaan Perak akan meneruskan peruntukan RM1 juta bagi pembiayaan bil utiliti 186 SJKC dan 134 SJKT di seluruh negeri yang dimulakan sejak tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");