Perak Hari Ini

Perak sumbang RM3.039 bilion kepada GDP sektor pembuatan negara

Perak menyumbang RM3.039 bilion kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (GDP) sektor pembuatan di Malaysia tahun lalu, meningkat 340 peratus berbanding hanya RM894 juta pada 2009.

Sebanyak 49 projek dilaksanakan pada 2010 berbanding 47 pada tahun sebelumnya, sekaligus meletakkan negeri ini berada di tempat keempat dari segi bilangan projek yang diluluskan di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata melalui kerjasama dan bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kerajaan negeri yakin lebih ramai usahawan dan pengeskport tempatan akan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa.

Katanya, Perak mempunyai pelbagai produk yang baik dan berkualiti tinggi seperti minuman paket Ipoh White Coffee yang begitu terkenal dan menjadi kegemaran pelancong China dan Timur Tengah.

“Tarikan lain di Perak ialah industri pembuatan kasut yang mendapat permintaan baik di luar negara dan kita harap melalui pendedahan yang disediakan MATRADE, usahawan tempatan dapat mengembangkan perniagaan dengan membuat pinjaman dan meningkatkan kualiti produk untuk dieksport ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MATRADE bersama Usahawan dan Pengeksport 2011 di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, program MATRADE yang mengumpulkan lebih 200 usahawan tempatan itu dapat mendedahkan mereka dengan peluang perniagaan dan eksport serta mengenalpasti yang ruang yang ada bagi meneruskan perniagaan.

Sementara itu, Dr Zambry turut menggesa agar usahawan tempatan agar mendaftar dengan MATRADE bagi menikmati pelbagai bantuan yang disediakan perbadanan itu termasuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG)  untuk promosi eksport yang membabitkan kos yang tinggi.

Katanya, sehingga Februari lalu, hanya 338 daripada Perak mendaftar dengan MATRADE, iaitu mewakili empat peratus daripada 8,879 syarikat yang berdaftar dengan perbadanan itu.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri melalui InvestPerak akan terus membuat promosi di luar negara bagi meneroka peluang perdagangan yang boleh dimanfaatkan usahawan tempatan.

Katanya, melalui beberapa siri lawatan ke luar negeri, beliau yakin peluang usahawan tempatan memperluaskan perniagaan mereka di luar negara semakin baik dan lebih banyak pelaburan dijangka dibawa masuk ke Perak.

“Selain produk yang berkualiti tinggi, MATRADE juga perlu memberi bimbingan kepada usahawan dalam aspek pembungkusan.

“Industri ini boleh mendatangkan keuntungan besar kerana produk dibeli secara pukal, dibungkus dan diberi penjenamaan baru dan di Perak sendiri, wujud sebuah syarikat yang boleh memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam aspek pembungkusan dari segi penggunaan plastik dan rekabentuk,” katanya.

Ditanya samada tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun menjejaskan pelaburan di Perak, Dr Zambry berkata, setakat ini, kerajaan negeri masih belum sebarang menerima laporan berhubung perkara itu daripada syarikat Jepun yang melabur di negeri ini.

“Satu perjumpaan akan diadakan pada 27 Mac ini bagi mendapatkan maklumbalas daripada pelabur Jepun berhubung kesan tragedi gempa bumi dan tsunami yang berlaku 11 Mac lalu kepada ekonomi Perak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");