Perak Hari Ini

Perbadanan Perpustakaan Awam Perak terima Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S

Perbadanan Perpustakaan Awam negeri Perak menjadi perpustakaan awam pertama di zon utara menerima Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, kemas dan sistematik.

Pengarahnya, Mohammad Nazari Abdul Hamid, berkata amalan itu juga dapat meningkatkan kerjasama antara kakitangan dalam melaksanakan tugasan harian; mewujudkan disiplin yang tinggi dan berhemah di kalangan kakitangan; menjamin keselamatan kakitangan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kerja melalui penerapan budaya inovatif dan kreatif.

Katanya, selain Perak, dua lagi negeri yang sudah menerima sijil itu ialah Kelantan dan Terengganu.

“Dengan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S ini, pelanggan dapat menikmati kemudahan yang disediakan di perpustakaan awam dengan lebih selesa dan selepas Ipoh, kita akan memperluaskannya ke empat cawangan lagi iaitu Taiping, Kuala Kangsar, Seri Iskandar dan Teluk Intan pada tahun ini.

“Seterusnya, kita berharap amalan ini dapat dipratikkan ke seluruh 65 perpustakaan awam di seluruh negeri pada 2012,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Nazari menerima Sijil Amalan Persekitaran 5S daripada Pengarah MPC Zon Utara, Sarimah Sariman.

Sementara itu, beliau berkata, 5S adalah salah satu alat pengurusan yang diamalkan di Jepun dengan fokus mewujudkan suasana berkualiti di sesebuah organisasi yang mampu memastikan standard yang ditetapkan serta menerapkan semangat untuk penambahbaikan secara berterusan.

Ia juga katanya, merupakan teknik pengurusan yang menjadi asas kepada mana-mana organisasi yang mempunyai inisiatif berdaya saing.

“Pelaksanaan 5S ini membabitkan kawasan persekitaran, ruang pejabat, bilik stor dan ruang penyimpanan serta pemprosesan koleksi bahan.

“Dengan amalan ini juga, buku yang baru dibeli boleh diletakkan dalam rak dalam masa kurang sebulan kerana pemprosesan koleksi dapat dijalankan secara sistematik,” tambahnya.

Beliau juga berharap pengiktirafan yang diterima itu dapat menarik minat lebih ramai pengunjung ke perpustakaan awam yang mencatat kehadiran kira-kira 1 juta pelawat tahun lalu.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,400 program dilaksanakan oleh perbadanan itu bagi menggalakkan rakyat negeri ini mengunjungi perpustakaan awam.

Menurutnya, perbadanan juga merancang menggunakan pendekatan dari ke rumah bagi menarik minat masyarakat terhadap budaya membaca.

“Kita akan melaksanakan pendekatan ini dengan pergi dari rumah ke rumah di serata pelusuk kampung bagi menarik minat masyarakat untuk membaca sambil membawa bersama pelbagai koleksi buku yang bersesuaian atau diminati oleh pelanggan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");