Perak Hari Ini

Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak minta tempoh bayar diskaun saman lanjut dua minggu lagi

Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak menerima lebih 10 aduan dalam tempoh dua minggu lalu berkaitan masalah yang membabitkan saman jalan raya.

Ketua Urusetianya, Mohd Rawi Abdullah memberitahu terdapat beberapa aduan orang ramai yang menyatakan mereka tidak mampu untuk membayar jumlah saman sekaligus terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, pihaknya memohon jasa baik kerajaan supaya mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pembayaran diskaun saman trafik dalam masa dua minggu lagi.

“Dalam keadaan sekarang, kebanyakan wang gaji sudah dihabiskan pada awal tahun untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak dan sebagainya, jadi saya meminta kerajaan agar mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh bayaran,” katanya.

Dalam pada itu Rawi memberitahu, antara aduan yang dikenalpasti termasuklah berkaitan masalah pemilik yang terpaksa menanggung kesalahan saman orang lain kerana kereta yang dijual sama ada melalui orang tengah atau syarikat kereta terpakai masih belum ditukarkan hak milik.

Jelasnya, masalah yang sama juga berlaku terhadap kenderaan curi dimana ia menyebabkan pemilik asal menjadi mangsa untuk membayar saman trafik yang bukan dilakukannya.

“Kita tidak mahu rakyat teraniaya kerana terpaksa membayar saman yang bukan dilakukan sendiri.” katanya pada sidang media pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk menjual kenderaan mereka supaya memastikan proses tukar nama kenderaan masing-masing selesai sebelum menyerahkan kepada pemilik baru.

Seorang mangsa yang ditemui, Khaironi Jamaluddin, 42, dari Tronoh berasa bingung kerana secara tiba-tiba beliau menerima surat saman atas kereta lamanya sedangkan sudah lebih lima tahun kenderaan itu dijual.

“Saman tersebut telah dikeluarkan pada tarikh 30 Ogos 2005 sedangkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback itu, saya sudah dijual pada 16 Mei 2005 jadi kesalahan jalan raya berkenaan dibuat tiga bulan selepas ia dijual.

Tambah Khaironi lagi, selepas diteliti dia mendapati syarikat kereta berkenaan hanya menukar hak milik pada 20 September 2009.

“Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas saman yang dikeluarkan kerana sepanjang tempoh itu saya sudah menjual kereta berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengemukakan aduan berhubung perkara itu kepada Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah di sini, semalam.

Ibu kepada dua orang anak itu berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera memandangkan kesalahan trafik yang dikemukakan bukan berpunca darinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");