Berita Hari Ini

Rakyat Mahu Kerajaan Yang Cekap, Bersih Dan Telus – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat hari ini mengharapkan bukan hanya pembangunan semata-mata tetapi sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan cekap, telus dan bersih yang boleh dianggap sebagai tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri berkata jangkaan rakyat dan juga sikap mereka terhadap pemimpin dan kerajaan sudah berbeza.

Menurutnya, sebab itu ukuran untuk menjadi pemimpin hari ini adalah lebih tinggi dari dahulu kerana pada masa dahulu maklumat tidak mudah diperolehi tetapi pada hari ini rakyat lebih berpendidikan dan memperoleh maklumat yang lebih.

“Hari ini apapun kita nak sembunyipun akhirnya akan timbul juga, orang akan tahu juga. Jadi kita sebagai pemimpin mesti sedar (dan) kena buat perubahan pada diri kita… penyesuaian”.

“InsyaAllah kalau kita buat penyesuaian, saya yakin rakyat masih lagi mahu kepada Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara kita, tapi mereka nak BN yang sudah berubah mengikut selera keadaan hari ini,” katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ke-34 di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, di sini, Rabu.

Najib berkata apa yang berlaku pada 2008 (pilihan raya umum 2008) adalah merupakan perubahan struktural, bahawa rakyat Malaysia hari ini tidak lagi seperti dulu.

Menurutnya generasi hari ini inginkan perubahan dan kerajaan Barisan Nasional boleh membawa perubahan itu dan sebab itulah negara tidak memerlukan kepada reformasi yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya memerlukan transformasi seperti yang sedang dibawa oleh kerajaan.

“Biar sebut reformasi tapi reformasi dah berakhir dengan baling kerusi. Kita memilih transformasi…tak payahlah buat demonstrasi jalanan…bertempik di luar tapi kita buat kerja dan kita laksanakan. Sebab itulah dalam Gagasan 1Malaysia Pencapaian diutamakan kerana kita mesti menekankan keputusan daripada output,” katanya.

Najib berkata pendekatan pada zaman sekarang adalah dimana tidak ada terlalu banyak formaliti di antara rakyat dengan pemimpin.

“Tidak ada tembok antara kita dan rakyat.Kita mesti pemimpin berjiwa rakyat…inilah tema kita untuk kita lebih berjaya dalam sistem demokrasi, ” katanya.

Terdahulu isteri Perdana Menteri merangkap Yang dipertua BAKTI Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan ucapan di majlis yang dihadiri ramai anggota BAKTI.

Najib berkata apabila pemimpin turun padang berjumpa rakyat maka tidak perlu wujud banyak protokol dan ini akan mendekatkan lagi pemimpin kepada rakyat bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

“Sebab itu pada sesi lawatan rasmi turun ke negeri-negeri kita telah memilih pendekatan yang kurang formal, umpamanya pada jamuan tak perlu yang duduk sekeliling kiri kanan kita semua pemimpin.

Pemimpin ada masa dengan kita.” “Saya kata biarlah apa salahnya pengerusi teksi duduk sebelah kita, ketua kampung duduk sebelah kita. Apa salah tok imam ataupun pengerusi persatuan duduk sebelah kita. Sesiapa yang merupakan pemimpin tempatan duduk sekeliling dan kita tahu masalah rakyat,” katanya.

Najib juga berkata apabila beliau duduk bersila di atas jalan bersama para penonton menonton perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 di skrin besar di Bukit Bintang hujung tahun lepas adalah bagi membolehkan beliau bersama-sama dengan rakyat menyokong pasukan negara. “Saya sanggup berbuat demikian. Saya duduk atas jalan sepanjang pertandingan bola sepak itu menyokong pasukan Malaysia. Soal protokol, ia bukan penting, yang penting kita bersama-sama rakyat,” katanya.

Najib berkata pemimpin dalam apa peringkat juga mesti tahu cara untuk berkomunikasi dengan rakyat untuk merasai denyutan hati rakyat. “Kita bukan dalam zon yang selesa…dan dan kita tak boleh anggap ini (situasi hari ini) sebagai urusan seperti biasa, Ia tidak boleh jadi urusan seperti biasa. Sebab keadaan di luar berbeza sekali,” katanya.

Perdana Menteri juga meminta anggota BAKTI sebagai isteri kepada pemimpin agar sentiasa rendah diri dan berhubung rapat dengan rakyat dalam membantu pelbagai lapisan rakyat seperti warga emas, orang kurang upaya, anak yatim dan ibu tunggal.

“Kalau setiap daripada kita ada semangat bahawa bila kita dah jadi isteri pemimpin kita wajib untuk memberikan kembali kepada masyarakat, apa yang mereka telah amanahkan kepada kita sebagai pemimpin, wajiblah kita membuat sesuatu untuk mengembalikan dan menghargai amanah rakyat yang diberikan kepada kita sebagai pemimpin”.

“Kalau kita ada semangat seperti ini nak beri balik kepada masyarakat…nak sumbang pada masyarakat tentu sekali imej kerajaan akan bertambah lebih jernih dan lebih positif lagi di kalangan rakyat dan inilah peranan besar yang boleh dimainkan olleh isteri kepada pemimpin,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan berdiri di atas sokongan dan dokongan rakyat maka apabila berkhidmat adalah untuk rakyat. “Kalau setiap daripada anggota Bakti merasa sedemikian maka Bakti akan menjadi sebuah badan NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) yang betul-betul unggul,” katanya.

Najib memuji peranan BAKTI serta semangat tinggi anggota-anggotanya yang membantu pelbagai lapisan masyarakat dan menurutnya BAKTI adalah sebuah badan yang ada kedudukan yang unik dan boleh menjadi satu contoh ikutan kepada badan-badan lain di negara ini.

“BAKTI boleh sediakan kepimpinan yang kuat kepada badan-badan lain…boleh menjadi kayu pengukur kepada orang-orang lain bagaimana sebuah badan itu harus ditadbir,” katanya.

Menurutnya BAKTI telah mencapai kejayaan demi kejayaan yang membanggakan termasuk dalam soal kutipan derma di mana pada majlis makan malam amal Bakti 2010, sejumlah lebih RM25 juta sumbangan berjaya dikumpul.

“Saya telah mengikuti perkembangan BAKTI sejak 1976…sudah melalui pelbagai zaman. Tapi hari ini saya berasa BAKTI telah muncul sebagai sebuah badan yang mantap, unggul dan boleh dibanggakan,” kata Najib yang juga penaung BAKTI.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");