Berita Hari Ini

Rakyat Pemegang Saham Terpenting GTP Akan Terus Dapat Manfaat, Kata Najib

Rakyat sebagai pemegang saham terpenting Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan terus mendapat manfaat hasil pencapaian memberangsangkan enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sepanjang 2010 itu tidak akan terhenti, sebaliknya akan diteruskan dengan kerajaan memperkuatkan iltizam untuk terus bekerja dengan gigih demi rakyat dan negara.

“Kita akan buat apa saja yang termampu dan terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta,” katanya ketika berucap membentangkan Laporan tahunan GTP pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Ahad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar tanggungjawab dan amanah yang diletakkan rakyat untuk memenuhi keinginan hidup selesa dalam sebuah negara aman, selamat, selain merasai aspirasi masa depan rakyat.

Katanya beliau dan kepimpinan negara juga sedar era di mana kerajaan mengetahui segalanya telah berakhir dan apa yang dimahukan ketika ini ialah memenuhi apa sebenarnya keinginan rakyat.

“Sebagai kerajaan, kita amat insaf dan bersikap rendah diri bahawa era di mana kerajaan tahu segalanya sudah berakhir dan apa yang penting bagi kita ialah untuk mengenal pasti keinginan rakyat ,apa yang sebenarnya jangkaan rakyat, dan apakah aspirasi rakyat yang perlu dipenuhi kerajaan,” katanya.

Selepas ucapan, Najib berserta menteri-menteri kabinet serta enam menteri yang terlibat dalam enam bidang NKRA turut dipertontonkan dengan tayangan video memaparkan kejayaan enam bidang tersebut.

Sebelum meninggalkan dewan, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa melihat pameran NKRA.

Majlis itu turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");