Perak Hari Ini

Razali ikrar janji depan saksi

Teka-teki status Razali Umar Kandasamy terjawab setelah pemain itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di pejabatnya, semalam.

Ketika ditemui pada sidang media pelancaran program Century Ride 2011 di sini, Zainol Fadzi berkata, pertemuan itu turut menyaksikan penyerang tinggi lampai itu menyuarakan ikrar janjinya untuk tidak lagi mengulangi masalah selain berjanji menghadiri semula latihan.

Katanya, Razali, 24, turut membawa sepupunya menjadi saksi kepada pertemuan itu dan saksi ikrar janji yang disuarakan.

“Saya dah jumpa dia pagi tadi (semalam), dan dah bincang dari hati ke hati. Dia juga dah nyatakan kepada saya dan saya terima alasan dia yang berjanji ini yang terakhir.

“Dia pun ada bawa sepupunya sebagai saksi kerana jika dia tak ikut janjinya, tindakan keras akan diambil terhadapnya.

“Bagaimanapun, kita ada pihak eksekutif yang akan membuat keputusan. Apa yang saya boleh kata, keputusannya mungkin positif,” katanya.

Menurutnya, tindakan tetap diambil terhadap Razali kerana tidak hadir sesi latihan dan ia dilaksanakan berdasarkan kontrak.

Katanya, tindakan seumpamanya juga pernah diambil sebelum ini tetapi masih gagal untuk mendisiplinkan pemain itu.

“Ini adalah pertemuan pertama saya dengannya kerana selama ini saya minta dia berjumpa dengan pihak pengurusan.

“Biarpun kali pertama, saya beri peringatan terakhir kepadanya jangan ulangi perbuatan.

“Namun saya ingin tegaskan di sini pertemuan saya dan Razali tidak bermakna dia boleh terus bermain. Semuanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi turut menasihati Razali menghormati kontrak yang ditandatangani, termasuk terhadap tindakan yang bakal dikenakan.

Katanya, pihaknya hanya boleh menerima alasan tetapi ia masih perlu mengikut peraturan di dalam kontrak.

“Berdasarkan kontrak, tiada kompromi bagi mana-mana pemain yang didapati melanggar peraturan, jika terpaksa potong gaji, kita akan potong.

“Dia pun baru main dengan kita selama lima tahun sejak Piala Presiden dulu, dia masih muda dan masih banyak peluang yang dia boleh teroka. Jangan sia-sia semua itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");