Berita Hari Ini

RM73.68 Juta Untuk Kerja Naik Taraf, Baik Pulih 3 Jenis Sekolah Di Sarawak

Kerajaan Rabu mengumumkan peruntukan RM73.68 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih tiga jenis sekolah di seluruh negeri Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan sebanyak RM25.68 juta adalah untuk 130 sekolah Mubaligh, RM20 juta untuk 197 sekolah jenis kebangsaan Cina manakala RM28 juta untuk 1,266 sekolah kebangsaan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sebagai permulaan RM50,000 akan diberikan kepada setiap sekolah mubaligh itu dalam tempoh terdekat melalui wakil-wakil Barisan Nasional di kawasan-kawasan berkenaan.

“Jumlah peruntukan pembayaran awal ini ialah RM6.5 juta dan bakinya akan dibayar dalam pusingan kedua selepas ini,” katanya kepada wartawan di sini.

Terdapat 197 buah sekolah SJKC di Sarawak di mana 187 buah adalah sekolah rendah sementara 10 lagi sekolah menengah.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), menghadiri taklimat persiapan pilihan raya negeri Sarawak bersama pemimpin-pemimpin tertinggi komponen parti BN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pemberian peruntukan itu menunjukkan kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dengan keadaan di Sarawak yang berlainan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia.

“Perdana Menteri dapat memahami gambaran keseluruhannya mengenai keadaan sekolah di Sarawak, yang banyak dah lapuk.

“Saya mengucapkan terima kasih atas perhatian khas ini,” katanya.

Taib berkata kebanyakan sekolah-sekolah berkenaan adalah dibina oleh pihak berkuasa tempatan, dan bantuan kewangan yang disalurkan untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan-bangunan sekolah berkenaan tepat pada masanya kerana sekolah-sekolah itu kebanyakannya diperbuat daripada kayu. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");