Perak Hari Ini

Super Kinta bakal dihidupkan semula

PASAR raya Super Kinta yang terletak di bahagian bawah bangunan Pasar Besar Ipoh pernah menjadi tumpuan ramai suatu ketika dahulu.-Utusan

Lebih 10 tahun lalu, kompleks membeli belah Super Kinta di sini merupakan pasar raya paling popular dan menjadi tumpuan orang ramai di bandar raya ini.

Ini kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah pusat bandar dan terletak di bangunan Pasar Besar Ipoh yang turut menempatkan perniagaan pasar basah serta pelbagai gerai jualan lain.

Namun, entah di mana silapnya, Super Kinta terpaksa ‘gulung tikar’ lapan tahun lalu berikutan kemunculan beberapa kompleks membeli belah yang lebih besar dan moden di bandar raya ini.

Dalam tempoh lapan tahun itu, ada beberapa syarikat pelabur, termasuk dari luar yang berminat memajukan bangunan Super Kinta itu, tetapi tiada satu pun yang menjadi kenyataan sehingga kini.

Kini, harapan penduduk bandar raya ini untuk melihat bangunan berusia 29 tahun itu kembali beroperasi mungkin menjadi realiti setelah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak dan Persatuan Komputer dan Digital Perak berminat untuk memajukannya.

Baru-baru ini, rombongan DPMM yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengadakan lawatan ke bangunan Super Kinta untuk melihat keadaan serta potensinya.

Ketika ditemui selepas lawatan itu, Muhammad Muhiyuddin berkata, pihaknya berminat untuk memajukan bangunan Super Kinta sebagai tempat menjual produk-produk tempatan.

“Ramai peniaga kecil, terutama Melayu meminta DPMM ‘menghidupkan’ semula bangunan itu supaya mereka mendapat tempat untuk berniaga.

“Ini kerana ramai peniaga kecil tidak mendapat peluang untuk berniaga di pasar raya besar,” katanya.

Menurut Muhammad Muhiyuddin, berdasarkan pemerhatian awal pihaknya, bangunan tersebut memerlukan kos ubah suai antara RM4 hingga RM5 juta sebelum dapat beroperasi.

“Kita harap kerajaan negeri dapat membaik pulih bangunan itu, termasuk membaiki sistem pendingin hawa, pendawaian elektrik dan tangga bergerak.

“Sekiranya kerajaan negeri bersetuju, DPMM Perak akan membuat kajian dan menyerahkan permohonan untuk memajukan bangunan ini kepada kerajaan negeri awal Jun ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad turut menyokong inisiatif DPMM Perak untuk memajukan bangunan itu dan berharap kerajaan negeri dapat mengeluarkan sedikit peruntukan bagi tujuan baik pulih.

“Tidak ramai peniaga Melayu yang mendapat tempat di pasar raya besar dan ini merupakan peluang mereka untuk berniaga di lokasi strategik di tengah pusat bandar,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, Persatuan Komputer dan Digital Perak ada menyatakan cadangan menjadikan bangunan itu sebagai pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, kerajaan negeri bersedia mengenakan kadar sewaan minimum kepada pihak yang berminat, asalkan bangunan tersebut tidak dibiarkan kosong.

“Walaupun perkara ini masih di peringkat cadangan, saya harap Persatuan Komputer dan Digital Perak dapat bergabung dengan persatuan-persatuan lain bagi memajukan kompleks Super Kinta.

“Selain memanfaatkan bangunan yang tidak berpenghuni itu, ia dapat meningkatkan nilai hartanah dan menghidupkan kawasan itu dan sekitarnya,” ujarnya.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pihaknya bersedia memenuhi kehendak pelabur untuk menaik taraf bangunan itu sekiranya ada yang berminat menyewanya.

“Sebenarnya, bangunan itu sudah dibaik pulih dengan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan Persekutuan pada 2007.

“Jika ada yang berminat menyewanya, kita akan bekerjasama dengan mereka untuk menjadikan kawasan itu kembali ceria seperti ketika wujudnya pusat membeli belah Super Kinta dahulu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");