Perak Hari Ini

Tasik Bukit Merah Akan Didalamkan Elak Banjir Di Kerian

Kerajaan Perak memutuskan untuk mendalamkan Tasik Bukit Merah bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda daerah Kerian apabila hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri Datuk Ramly Zahari berkata projek itu akan dijalankan akhir tahun ini dan ia dipilih kerana kosnya lebih rendah berbanding meninggikan dinding penebat di empangan tersebut.

“Kita mempunyai dua cadangan iaitu meninggikan dinding penebat sekeliling empangan atau mendalamkan empangan bagi memberikan ruang yang lebih untuk penyimpanan air. Kerajaan negeri memilih mendalamkan empangan kerana ia tidak melibatkan kos yang tinggi,” katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat selepas meneliti syor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta perunding swasta yang menjalankan kajian bagi menangani isu banjir tersebut.

Daerah Kerian sering dilanda banjir apabila air di empangan terbabit dilepaskan susulan hujan lebat dan paras air meningkat ke paras bahaya.

JPS sebelum ini memperuntukkan RM500,000 bagi kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan bagi tujuan menaik taraf sistem pengairan empangan berkenaan.

Empangan Bukit Merah yang dibina pada tahun 1906 mempunyai keluasan tasik 40 kilometer persegi dengan kapasiti takungan kira-kira 70 juta liter padu pada aras 28.50 kaki

Dalam kejadian banjir yang melanda sejak minggu lepas, lebih 500 penduduk dari beberapa kampung sekitar Bukit Merah, Alor Pongsu dan Bagan Serai terpaksa dipindahkan apabila kawasan mereka ditenggelami air antara 0.5 hingga 1 meter.

Mengenai cadangan memindahkan penduduk ke kawasan lain, Ramly berkata perkara itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk selain turut melibatkan kos yang tinggi.

Beliau juga menegaskan semua mangsa banjir terbabit akan diberi bantuan sewajarnya selepas keadaan banjir pulih.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berkata sehingga pukul 5.30 petang ini, jumlah mangsa yang dipindahkan kekal 251 orang.

Kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah dan SK Alor Pongsu, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mereka melibatkan penduduk Kampung Matang Pasir, Kampung Tanjung Bugis, Kampung Parit Simpang Lima, Batu 37 dan 38 Jalan Keretapi, Kampung Parit Abu Hasan, Parit Haji Hasan Ban, Parit Mat Keling, Kampung Tebuk Pancur, Kampung Parit Ayer Hitam dan Kampung Perlis.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");