Kolumnis

Tun Mahathir Yang Ditakuti Sekalipun Dia Tidak Lagi Berkuasa

Nama Tun Dr. Mahathir Mohammad kekal dalam lipatan sejarah. Sekalipun pelbagai pihak cuba mencalarkan nama negarawan itu dengan pelbagai fitnah dan tohmahan, ternyata Tun Dr. Mahathir yang telah bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia semenjak 2003, masih mampu menakutkan para pemimpin pembangkang, sama ada yang baru mahupun setua Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Sebuah buku yang ditulis oleh Tom Plate, menakutkan para pemimpin pembangkang. Sebabnya, di dalam buku tersebut, beberapa perkara terutama sekali Operasi Lalang pada 1987 didedahkan dan pendedahan tersebut sama sekali bertentangan dengan apa yang mereka ceramahkan dan kempenkan sebelum ini.

Kesilapan Tun Mahathir yang sangat besar ialah, dia tidak pernah cuba mempertahankan dirinya dengan pantas, sebaliknya membiarkan masa untuk menjelaskan sama ada dia bersalah atau sebaliknya.

Dalam buku tersebut, Tun Mahathir menafikan pembabitannya di dalam Ops Lalang yang menyaksikan 40 orang pemimpin politik ditahan ISA. Sebaliknya menegaskan bahawa tindakan menahan para pemimpin politik itu dilakukan oleh pihak polis sendiri yang diketuai oleh Tun Hanif Omar.

Lim Kit Siang dan Mat Sabu adalah antara dua orang pemimpin pembangkang yang ditahan dalam operasi tersebut. Penjelasan yang diberikan oleh Tom Plate di dalam buku berkenaan, membuatkan mereka melenting marah. Mat Sabu segera mengatakan Tun Mahathir berbohong. Manakala Lim Kit Siang pula mencabar Tun Mahathir untuk menamakan ahli-ahli politik yang telah diberikan jaminan peribadi oleh Tun Mahathir sebelum mereka ditahan.

Apabila Tun Hanif Omar muncul dan menjelaskan bahawa Tun Mahathir bercakap benar, kebanyakan pemimpin pembangkang terutama Lim Kit Siang masih berusaha untuk memesongkan fakta-fakta Operasi Lalang. Kit Siang dan Mat Sabu tetap ingin mendoktrinkan para pengikut mereka, terutama pengikut-pengikut muda yang tidak tahu apa-apa kecuali maklumat daripada sumber DAP dan PAS yang tidak menceritakan perkara sebenar.

Ia seperti fakta dalam Tragedi Memali yang cuba dipertanggungjawab oleh para pemimpin PAS kepada Tun Dr. Mahathir sekalipun keputusan menyerang Ibrahim Mahmud @ Ibrahim Libya dibuat oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1982 iaitu Musa Hitam.

Sebelum itu pun, pergeseran antara Tun Mahathir dengan Musa Hitam bukan lagi rahsia. Musa Hitam banyak membuat keputusan sendiri termasuklah melarang orang Melayu daripada membawa keris di khalayak awam kerana menganggap keris adalah senjata merbahaya sekalipun keris sebenarnya adalah identiti Melayu.

Tragedi Memali 1982 telah merenggangkan terus hubungan Tun Mahathir dengan Musa Hitam. Tun Mahathir ternyata sangat berang dan tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh Musa Hitam. Hasilnya, Musa Hitam kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan Ghafar Baba, Musa Hitam kalah lagi sekaligus.

1987, UMNO diharamkan!!!

Tun Mahathir tidak pernah mengungkit perkara itu di khalayak sebaliknya menerima tanggungjawab sekalipun bukan dia yang melakukannya kerana dia adalah seorang Perdana Menteri pada waktu itu.

Begitu jugalah dengan Operasi Lalang 1987. Dr. Mahathir tetap menerima tanggungjawab itu dan menelan sahaja tuduhan bahawa dia adalah seorang kukubesi kerana menangkap musuh-musuh politiknya, sekalipun tindakan yang diambil oleh pihak polis berjaya mengendurkan ketegangan kaum yang begitu memuncak pada tahun tersebut. Sekaligus berjaya mengelak berulangnya Tragedi 13 Mei 1969.

Ternyata pengaruh Tun Dr. Mahathir masih kuat. Pendedahan yang dibuat oleh Tom Plate, si penulis buku siri wawancara dengan Dr. Mahathir telah menelanjangkan pembohongan dan pendustaan pemimpin-pemimpin pembangkang, khususnya Lim Kit Siang yang sering menjaja ke sana ke mari bahawa dia telah dizalimi oleh Dr. Mahathir sewaktu bekas pengamal perubatan itu berkuasa dahulu.

Sayangnya, kisah sebenar Operasi Lalang 1987 dan punca-puncanya masih tidak timbul di permukaan. Nasibnya hampir sama dengan Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 sehingga akhirnya DAP yang menjadi segala punca kekacauan dan masalah, terlepas begitu sahaja di samping mereka cerita yang bukan-bukan agar dapat memesongkan pemikiran generasi muda ang b uta sejarah….

Lim Kit Siang dan DAP telah berjaya melakukannya untuk 13 Mei 1969. Mereka pasti akan berjaya lagi pada Operasi Lalang 1987 selagi cerita sebenar daripada pemimpin zaman itu tidak dikeluarkan dan mampu memberi pencerahan kepada generasi muda.

Sepatutnya para pemimpin UMNO tidak lagi mengamalkan sikap berdiam diri, sebaliknya menerangkan apa sebenarnya yang berlaku kerana selagi mereka berdiam diri dan hanya mengisahkan tentang keadaan semasa, generasi muda yang buta sejarah akan tetap mengatakan UMNO adalah pesalah.

Ia sama seperti cerita UMNO ditubuhkan pada 1 Mei 1946 dan serpihannya, PAS pada tahun 1951 di mana generasi muda menuduh UMNO sebagai anak didik British, sedangkan PAS pula lahir sebagai parti rakyat… walaupun sebenarnya tuduhan itu sangat tidak berasas kerana UMNO ditubuhkan oleh kesemua pertubuhan, persatuan dan kesatuan Melayu, sama ada golongan kiri API dan PKMM mahupun golongan kanan seperti SABERKAS. Manakala PAS pula lahir daripada masalah di dalam UMNO melibatkan kepemimpinan utama dengan Biro Agama UMNO.

Penulis: Kelembai Bukit untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");