Perak Hari Ini

Yayasan perluas skop pinjaman Orang Asli

Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) memperluaskan skim pinjaman mikrokredit kepada masyarakat Orang Asli bukan sahaja melibatkan bantuan perniagaan kedai runcit, tetapi juga pembukaan bengkel motosikal dan kedai gunting rambut.

Ketua Khidmat Pengurusan Ilmu dan Hubungan Kerajaan YBUDR, Yusof Nordin berkata, Orang Asli yang berminat untuk memulakan perniagaan boleh membuat permohonan pinjaman mikrokredit sehingga RM20,000.

Beliau berkata, pinjaman yang tidak memerlukan sebarang penjamin dan tanpa faedah itu bagaimanapun hanya terbuka kepada mereka yang benar-benar berminat menjalankan perniagaan tetapi tidak berkemampuan.

“Apabila sudah terdapat satu perniagaan di sesebuah perkampungan Orang Asli, kita tidak menambah bilangannya kerana tidak mahu mewujudkan persaingan.

“Namun, sekiranya perniagaan mereka merudum, kita cuba membantu kerana YBUDR bukan sebuah organisasi bermotifkan keuntungan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemberian pinjaman mikrokredit kepada Achu merupakan projek perintis perniagaan runcit untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat tiga lagi permohonan sama yang diterima daripada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri Perak.

Menurutnya, dua permohonan tersebut diterima daripada masyarakat Orang Asli di Tasik Banding, Gerik manakala satu lagi di Simpang Pulai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam yang turut turun padang menghadiri perasmian pembukaan kedai Kedai Runcit Achu Ngah Enterprise berkata, bantuan pinjaman tersebut diharapkan dapat mengubah corak hidup kaum peribumi itu sejajar dengan arus kemodenan pada masa kini.

Beliau berkata, meskipun bantuannya kecil, tetapi sekurang-kurangnya ia merupakan titik tolak kepada mereka untuk mempelajari selok-belok bidang perniagaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");