Kolumnis

RAKYAT SARAWAK DIANCAM BAHAYA!

Penulis: ANON00 untuk Perak Today

Apabila beredarnya SMS yang meminta masyarakat pengundi di Sarawak tidak mengundi Barisan Nasional dengan menggunakan alasan, undi Barisan Nasional bermakna mengundi anti-Christ, pola politik di Sarawak sudah pun bertukar, sama ada disenangi oleh para pemimpin Sarawak, mahupun sebaliknya. Perkara yang paling ditakuti, sudah pun bertapak dan mulai berakar. Peluang yang diberikan kepada pihak tertentu untuk terlibat dalam politik di Sarawak, turut membuka ruang yang selama ini terkatup rapat.

Sibu merupakan pembuktian yang sangat jelas bagaimana SMS yang mengandungi unsur-unsur hasutan dan perpecahan kaum begitu ketara. Bandar Sibu yang bermajoritikan masyarakat Foochow dan pada masa yang sama, turut menjadi pusat kegiatan Khatolik, menjadi sasaran paling utama puak-puak berkenaan.

Dan kerana itulah, ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Sibu sangat tertumpu kepada penentangan Kristian terhadap Islam dan Taib Mahmud sendiri. Penduduk dan pengundi di Sibu kini dihasut agar membenci apa-apa sahaja yang mempunyai imej Islam. Cerita tentang kerajaan pusat mendiskriminasikan masyarakat Kristian ditokok-tambah. Isu tentang Bible berbahasa Melayu, Al-Kitab yang dicop ‘hanya untuk penganut Kristian’, perlembagaan negara dan sebagainya yang berkaitan dengan kebebasan beragama menjadi senjata utama Pakatan Rakyat terutama sekali DAP dalam usaha meraih undi dan pengaruh di Sarawak.

Perlu diakui bahawa polarisasi dan demografi di Sarawak amat berbeza dengan Semenanjung. Majoriti penduduk Sarawak adalah beragama Kristian bermazhab Katholik. Justeru sudah pastilah pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Pusat amat berbeza. Dan semenjak Sarawak merdeka di dalam Malaysia, Barisan Nasional yang memerintah tidak pernah mengenepikan mahupun mendiskriminasikan kebebasan beragama kaum Katholik di Sarawak mahupun di Sabah.

Anehnya, apabila Pakatan Rakyat yang penubuhannya pun masih tidak berdaftar dan bersifat haram cuba meraih kuasa, pandai pula mereka ‘membuka mata’ dan ‘hati’ kaum Katholik untuk memberontak dan membuat pelbagai tuntutan dengan alasan, kaum Katholik telah didiskriminasikan oleh kerajaan walaupun kalau diperhatikan di Sibu, gereja dan cathedral mereka jauh lebih besar berbanding masjid. Malahan masyarakat Foochow mahupun kaum Khatolik tidak dipisah-pisahkan atau demografi mereka dikenakan sekatan.

Kaum Katholik bebas untuk berkumpul sesama mereka. Bebas untuk tinggal sesama sendiri dan tidak dilayan seperti masyarakat Islam di Peranchis mahupun di Jerman yang perlu dipantau oleh pihak berkuasa negara terbabit, sungguhpun pada masa yang sama, kedua-dua negara itu dikatakan mengamalkan kebebasan beragama. Malah tidak dikenakan sebarang cop wasangka seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Amerika Syarikat terhadap rakyatnya yang beragama Islam.

Sekalipun sedikit sebanyak wujud masalah antara penganut agama di negara yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum ini, kebanyakan masalah biasanya diselesaikan dengan cara yang paling sopan dan tertib bagi mengelakkan mana-mana masyarakat tersinggung. Namun apabila wujudnya tindak-tanduk Pakatan Rakyat yang begitu jelas tidak berminat untuk melihat masyarakat  negara ini hidup dalam kesepaduan dan muhibbah, ia sebenarnya mengundang bencana yang sangat besar buat Malaysia.

Inilah SMS yang dimaksudkan dan sedang beredar dengan bebas dan pantas di seluruh Sarawak.

‘TODAY THE COUNCIL OF CHURCHES MALAYSIA HAS REJECTED THE GOVERNMENT’S 10 POINT SOLUTION ON THE AL-KITAB. VOTE AGAINST BN IS A VOTE FOR JESUS. BN IS AN ANTI-CHRIST AGENT. CHRISTIANS ARE BEIING DISCRIMINATED AND RIGHTS  IN CONSTITUTIONS DENIED. DON’T VOTE FOR BN. IF YOU ARE A TRUE CHRISTIAN SEND THIS MESSAGE TO 8 OTHER CHRISTIANS.’

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");