Perak Hari Ini

80 penyokong sertai perhimpunan aman sokong akhbar Utusan Malaysia

Satu perhimpunan aman diadakan hari ini di hadapan pejabat Utusan Malaysia di Ipoh sebagai tanda sokongan terhadap akhbar Melayu itu dan membantah keras campurtangan parti perkauman, DAP yang menentang slogan 1Melayu 1Bumi yang dicadangkan akhbar berkenaan.

Kira-kira 80 penyokong terdiri ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) cawangan Daerah Kinta, Pergerakan Wanita UMNO Gopeng, ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia negeri dan orang perseorangan berkumpul di hadapan pejabat Utusan Malaysia yang terletak di Jalan Sultan Iskandar Shah mulai jam 3 petang dengan membawa pelbagai sepanduk membantah campurtangan DAP itu.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya mengenakan tekanan ke atas Umno supaya ‘menegur’ Utusan Malaysia berhubung artikel sokongan kaum Cina yang semakin merosot kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya negeri Sarawak lalu dan penubuhan gerakan 1Melayu, 1Bumi.

“Lakukannya Chua! Bagi tahu Umno supaya arahkan akhbarnya untuk menarik balik cadangan penubuhan ‘1Melayu, 1Bumi’ ataupun MCA sepatutnya berundur dari BN,” kata Lim.

Sepanduk yang tertera perkataan Awas Cina DAP, Jangan Takut Dengan DAP, Jahanam DAP dan Jangan Ganggu Akhbar Orang Melayu dibawa bersama penyokong sebagai tanda bantahan terhadap parti itu yang mencabar MCA supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia.

Beberapa sepanduk yang mengatakan sokongan terhadap akhbar Utusan Malaysia turut dibawa bersama penyokong yang tertera perkataan 1Utusan 1Melayu, Kami Menyokong Utusan Malaysia dan Melayu Sokong Utusan Malaysia.

Sebelum perhimpunan bermula, jalan masuk menuju ke pusat bandar mengalami kesesakan sejauh kira-kira 1 km apabila pihak polis bertindak menutup Jalan Iskandar Shah bagi memberi laluan kepada perhimpunan itu.

Yang Di Pertua PERKASA Daerah Kinta, Mohamad Shahfinaz Radzali, berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada akhbar orang Melayu, Utusan Malaysia.

Tegasnya, selagi laporan akhbar itu tidak bercanggah dengan kepentingan Melayu, agama Islam, Perlembagaan Malaysia dan konsep 1Malaysia, rakyat khususnya kaum Melayu perlu terus menyokong Utusan Malaysia.

“Akhbar ini merupakan akhbar ulung bangsa Melayu yang bercetak dan adalah menjadi tanggungjawab kita terutamanya ahli PERKASA untuk mempertahankan Utusan Malaysia kerana ia mewakili segala pandangan dan isi hati orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Gopeng, Maizoon Noorizan, berkata Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar Melayu yang begitu lantang memperjuangkan nasib orang Melayu dari dahulu hingga kini.

Katanya, jika kaum lain bebas untuk menyuarakan pandangan mereka dalam akhbar masing-masing, mengapa hak kaum Melayu perlu dipertikaikan oleh DAP yang seolah-olah mahu cuba mencabar serta menguji kesabaran orang Melayu.

“DAP tidak sepatutnya campurtangan dalam hal ini kerana kerana setiap kaum bebas menyatakan pandangan mereka dalam akhbar masing-masing.

“Apa yang lebih penting, orang Melayu perlu bersatu dan menyokong penuh akhbar Utusan Malaysia demi masa depan agama dan bangsa,” katanya lagi.

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia cawangan Perak, Feridah Abu Johan, berkata 40 ahli pertubuhan itu turut sama menyertai perhimpunan aman hari ini sebagai tanda sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

“Kerjasama dengan akhbar Utusan Malaysia yang melaporkan pelbagai aktiviti pertubuhan baik di peringkat nasional dan negeri telah terjalin sekian lama.

“Kami menyokong penuh akhbar Melayu ini yang banyak membangkitkan isu serta kepentingan orang Melayu di negara ini,” katanya lagi.

Perhimpunan itu bersurai kira-kira jam 4.05 petang selepas menerima arahan daripada pihak polis.

Semalam, Yang Di Pertua PERKASA Perak, Ahmad Zaini Ismail menyifatkan gesaan beberapa pemimpin MCA supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia sebagai suara daripada golongan yang terdesak mencari sokongan.

Katanya, kumpulan yang hebat menghentam akhbar tersebut adalah kalangan pemimpin yang tidak lagi diterima di kalangan orang Cina sendiri.

“Mereka kini cuba mencari pelbagai cara termasuk memainkan isu sensitif tanpa mempedulikan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) bagi tujuan menarik semula sokongan di kalangan orang Cina…tidak perlu layan desakan tersebut, sedangkan mereka sendiri sudah tidak laku lagi di mata kaum mereka sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");