Perak Hari Ini

Adun Titi Serong digantung hadiri satu persidangan DUN: Speaker

Dewan Undangan Negeri Perak meluluskan usul menggantung Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada menghadiri satu sesi persidangan DUN akan datang.

Speaker, Datuk R Ganesan, berkata keputusan sebulat suara itu diambil selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang bersidang 25 Februari lalu mendapati wakil rakyat Pas itu gagal memberi keterangan terhadap kenyataan dikeluarkannya pada 2 Disember tahun lalu.

“Terdapat isu berbangkit dan prima facie yang tidak pernah dijawab olehnya. Beliau juga gagal memberi penjelasan kerana tidak hadir pada mesyuarat jawatankuasa pada 25 Februari lalu dengan memberi alasan tertentu.

“Jawatankuasa membuat keputusan terbabit berdasarkan kepada rakaman video berhubung kenyataan Khalil Idham dan Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman pada sidang bertarikh 2 Disember 2010,” katanya kepada pemberita selepas menangguhkan persidangan DUN di Ipoh.

Jelasnya, selepas meneliti rakaman itu, jawatankuasa terbabit membuat keputusan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Hasbullah tetapi sebaliknya Khalil Idham digantung satu persidangan iaitu satu hari sahaja.

“Jika persidangan akan datang berlangsung selama empat hari, maka pada hari pertama itu, beliau tidak boleh menghadiri mesyuarat DUN,” katanya.

Sebelum itu, Adun Bota, Datuk Nasaruddin membentangkan usul keputusan jawatankuasa itu terhadap kedua-dua wakil rakyat terbabit yang kemudiannnya disokong oleh Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kasim.

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Nasaruddin berkata, jawatankuasa terbabit pada 25 Februari lalu mendapati Hasbullah mengeluarkan kenyataan amalan rasuah terhadap Ronnie Liu berdasarkan daripada komen ahli DAP, tiada isu dan prima facie sebaliknya bagi kes Khalil Idham pula, terdapat isu berbangkit dan prima facie yang tidak pernah dijawab olehnya.

Adun Pas itu juga gagal memberi penjelasan kerana tidak hadir pada mesyuarat jawatankuasa pada 25 Februari dan mendapati beliau gagal bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkannya.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan menggantung beliau daripada menghadiri satu persidangan DUN, kata Nasaruddin.

Usul yang dibentangkan itu diluluskan sebulat suara walaupun wakil rakyat diketuai Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bertindak keluar dewan bersama adun Pakatan Rakyat lain kerana membantah keputusan jawatankuasa terbabit.

Pada hari terakhir persidangan, Dewan Negeri turut meluluskan Enakmen Menteri Besar Perak (Permerbadanan) (Pindaan) 2011 dan Enakmen Perbadanan Pertanian Negeri Perak (Pindaan) 2011 serta penubuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang negeri.

Ganesan kemudiannya mengumumkan persidangan dewan ditangguh pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");