Berita Hari Ini

Banyak Pembangunan Dilakukan Kerajaan – Penganalisis

Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri terbesar, Sarawak dengan menambah baik infrastruktur bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta membasmi kemiskinan.

Satu daripada pembangunan ketara untuk memperluaskan peluang dalam negeri ini ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan matlamat untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki kualiti kehidupan di Sarawak.

“SCORE telah bermula dengan baik. Pelaburan-pelaburan di Sarawak telah bertambah tiga kali ganda pada 2010 berbanding tahun 2009 dan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan,” kata Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan kepada Bernama.

Memusatkan kepada aktiviti SCORE, Sarawak kini dalam landasan yang betul untuk terus mencatat pertumbuhan lebih memberangsangkan dalam ekonominya dan mencipta 2.5 juta pekerjaan menjelang 2020, katanya.

Beliau berkata pembaharuan ketara ini akan digalakkan lagi dengan pelaburan-pelaburan berkualiti dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dalam SCORE, satu koridor pembangunan yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi masa depan gemilang negeri ini.

Dr Nazri berkata hasil daripada inisiatif-inisiatif kerajaan ini jelas ditunjukkan dalam pengurangan ketara bilangan golongan miskin daripada 35 peratus pada 1985 kepada lima peratus pada 2010.

Beliau berkata meskipun industri pembalakan, minyak dan gas, perladangan dan pelancongan akan menjadi sektor utama enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak, cabaran-cabaran bagi kerajaan negeri adalah untuk menangani hal pelaburan-pelaburan swasta dan pembangunan modal insan.

“Sarawak telah mempelbagaikan industrinya, namun maklumat tidak begitu jelas. Oleh yang demikian, cabaran-cabaran adalah mengenai ketelusan maklumat ekonomi, penembusan jalur lebar dan pengagihan kekayaan yang saksama,” katanya.

Oleh yang demikian, Dr Nazri berkata kerajaan negeri perlu menangani masalah persepsi di kalangan generasi muda dengan menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan tinggi, selain memastikan mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Mengenai isu royalti minyak, ketua penyelidik ini berkata ia bukan satu isu kerana orang ramai sudah mendapat keselesaan namun sepatutnya diwujudkan satu “perbadanan pembangunan” bagi menguruskan royalti minyak dan sumber-sumber asli bagi menjadikannya lebih telus.

Sarawak ketika ini menerima sebanyak lima peratus royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, pihak-pihak tertentu mendakwa Sarawak sepatutnya meminta jumlah royalti minyak lebih tinggi dan bukannya dana pembiayaan daripada Kerajaan Pusat.

Namun, penganalisis ECM Libra Capital Sdn Bhd yang tidak mahu dikenali tidak bersetuju dengan perkara itu.

Beliau berkata Sarawak patut meminta dana pembangunan lebih tinggi kerana pihak berkuasa akan menjadi lebih telus jika dana berkenaan datang daripada Kerajaan Persekutuan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");