Berita Hari Ini

BN Ketengahkan 18 Muka Baru Pada Pilihan Raya Sarawak Ke-10

Barisan Nasional (BN) mengetengahkan 18 muka baru sebagai calon Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke-10 pada 16 April.

Ia melibatkan 10 calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tujuh daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan satu mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pengumuman calon BN dilakukan oleh Ketua Penerangan PBB Tan Sri Adenan Satem, yang melibatkan 70 daripada 71 kerusi.

Calon kerusi DUN Ba’kelalan, yang diperuntukkan kepada satu lagi parti komponen BN Sarawak, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), tidak diumumkan hari ini tetapi kemungkinan besar turut diisi oleh muka baru.

Muka-muka baru bagi PBB adalah Dr Hazaland Abang Hipni bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut; Martin Ben (Kedup); Aidel Lariwoo (Sadong Jaya); Razali Ghapor (Beting Maro); Razi Sitam (Saribas); Datuk Len Talif Salleh (Belawai); Dolah Saidol (Semop); Dr Annuar Rapee (Nangka); Ripin Lamat (Lambir) dan Dennis Ngau (Telang Usan).

SUPP menampilkan Sim Kiam Chiok (Padungan); Prof Dr Sim Kui Hian (Pending); Sih Hua Tong (Batu Lintang); Ling Kie King (Meradong); Chieng Buong Toon (Bukit Assek); Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Henry Ling (Kidurong) manakala PRS, Stanley Unja di Pelagus.

Bagi Len Talif, 58, yang merupakan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), beliau mahu menggunakan pengalamannya sebagai pentadbir untuk membantu rakyat Sarawak.

“Ini adalah peluang untuk berbakti kepada rakyat. Saya berbangga terpilih sebagai calon kerana saya tidak terfikir akan ditawarkan menjadi calon BN dalam pilihan raya,” katanya.

Ngau, 43, yang merupakan calon keturunan etnik Orang Ulu, berharap untuk meningkatkan lagi taraf hidup penduduk di kawasan Telang Usan, yang kebanyakannya adalah daripada etnik itu.

“Sebagai anak tempatan, saya memahami keperluan dan masalah penduduk di sana terutama masalah etnik Ulu,” kata pengurus besar di sebuah hotel di Miri.

Seorang lagi calon baru, Dr Hazaland, 45, berkata walaupun beliau muka baru, sebenarnya beliau telah dididik selama 15 tahun oleh PBB dan bekas ADUN Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.

“Saya telah mengikuti proses yang biasa di mana saya pegang jawatan di peringkat kampung, iaitu sebagai ahli biasa pada tahun 2001, 10 tahun yang lalu dan dari situ saya naik sikit-sikit dan sehingga kini saya menjadi Timbalan Ketua Cawangan Demak Laut. Pemilihan di tangan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Calon DUN Batu Lintang, Sih berkata ketika ini sentimen di Kuching ketika ini memang mahukan calon yang lebih muda dan berkaliber kerana kawasan itu terpinggir sejak lima tahun lepas apabila dikuasai pembangkang.

“Kami tidak tahu sama DAP atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang akan bertanding kerusi itu kerana terlalu banyak pertelagahan dalaman antara mereka sama ada dalam DAP atau komponen parti pakatan pembangkang. Terlalu banyak ketidaktentuan sehingga hari ini, kami faham tiada calon sah lagi,” katanya.

Bagi calon BN Padungan, Kiam Chiok, 48, beliau yakin dapat memenangi hati rakyat kerana pembangkang yang memenangi kerusi itu pada 2006 tidak banyak melakukan kepada rakyat sejak lima tahun lepas.

“Tiada pembangunan di kawasan itu dan sektor perniagaan lembap, terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");