Berita Hari Ini

BN Sarawak umum manifesto Rabu

Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengumumkan manifesto pilihan rayanya, Rabu selepas proses penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak selesai, kata Setiausaha Agung BN negeri, Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata, manifesto BN akan diumumkan pada satu majlis di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching petang Rabu.

Kami belum menetapkan masanya (majlis pengumuman manifesto) lagi kerana ia bergantung kepada seberapa segera pemimpin parti komponen kembali ke Kuching selepas memfailkan borang penamaan calon di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Rundi berkata, menifesto BN Sarawak antara lain akan mengetengahkan tentang falsafah dan kejayaan politik pembangunan serta potensi pelbagai peluang ekonomi menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Hab Halal Tanjung Manis.

Namun, sumber dalaman parti berkata, manifesto BN akan berasaskan kepada empat isu utama termasuk tadbir urus yang baik, pengurusan alam sekitar, lebih banyak peluang perniagaan dan pembangunan menerusi SCORE, satu daripada koridor pembangunan yang dibangunkan seluruh negara.

Menerusi SCORE, yang juga inisiatif utama dilaksanakan bagi membangunkan Wilayah Tengah, kerajaan negeri berharap untuk mentransformkan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2020 sementara pada masa yang sama menambah baik kualiti taraf hidup rakyat dengan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan.

Selain itu, hal-hal mengenai pajakan tanah akan ditangani dalam manifesto sementara BN akan turut menjelaskan mengapa politik pembangunan masih relevan di Sarawak.

“Manifesto itu akan turut memberi tumpuan kepada peruntukan RM6 bilion bagi memperbaiki kemudahan-kemudahan asas di kawasan luar bandar dan keperluan bagi mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, yang amat penting bagi memastikan lebih banyak dana pembiayaan disalurkan ke negeri ini,” kata sumber parti.

Manifesto itu akan turut menangani isu kos sara hidup dan menjelaskan beberapa langkah yang diambil bagi meringankan beban rakyat menerusi pelbagai strategi dan kaedah.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN menggunakan slogan “Sarawak Yang Aman, Progresif dan Makmur” menerusi manifesto yang melakar masa depan negeri, kisah kejayaan dan janji ke arah pengagihan kekayaan secara saksama dalam kalangan semua kaum di negeri ini.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");