Isu Panas

BN Terus Komited Pastikan Pembangunan Sarawak Berterusan – Muhyiddin

Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus komited memastikan pembangunan Sarawak berterusan dan mampu menjadi negeri yang berdaya maju di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi memastikan agenda itu berterusan, beliau berkata rakyat Sarawak harus yakin dengan segala strategi yang sedang dilaksanakan dan perancangan kerajaan pusat dan negeri kerana hanya pimpinan BN mempunyai keupayaan untuk melaksanakan segala inisiatif itu.

Walaupun kita sudah membangun, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) masih tak puas hati… bila Najib ambil alih pimpinan, beliau rasa masih ada usaha yang harus dibuat supaya Malaysia khususnya Sarawak terus meningkat lebih tinggi dan pesat,” katanya sewaktu berucap di Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di Kampung Haji Baki di sini.

Muhyiddin berkata antara inisiatif diambil kerajaan termasuklah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan juga transformasi politik.

Turut hadir calon BN untuk kerusi Batu Kawah Tan Joo Phoi dan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim.

Muhyiddin berkata rakyat Malaysia dan Sarawak secara khususnya harus bersyukur kerana sentiasa berada di dalam keadaan cukup baik terutamanya daripada segi perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa.

Muhyiddin menggesa rakyat negeri ini agar menilai sendiri jasa dan pembangunan yang dilaksanakan pemimpin negara dan negeri, khususnya Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Dalam masa kempen ini orang bangkit pasal Taib, tapi kita harus menghargai segala pengorbanan dan jasa yang beliau curahkan untuk Sarawak, dan kita hormati keputusannya untuk bersara dan serahkan kepimpinan kepada tokoh yang berkaliber dan berkelayakan. Jadi Sarawak akan ditadbir dengan baik,” katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata rakyat negeri ini mestilah lebih arif menilai mana yang baik dan buruk serta menolak hasutan pembangkang yang dilihat cuba memecahbelahkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama.

“Kita berikan pertimbangan yang bijaksana, buat keputusan baik, berdasarkan sikap yang waras, dan harapan saya, kita pastikan kemenangan BN lebih besar kali ini”, katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");