Berita Hari Ini

Dewan Rakyat: 421,800 Penganggur Dalam Negara Sehingga Januari Lepas

Dewan Rakyat pada Khamis diberitahu bahawa bilangan penganggur dalam negara berjumlah kira-kira 421,800 orang atau mewakili kadar 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia sehingga Januari lepas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata kadar itu tetap membolehkan Malaysia diisytihar mencapai tahap guna tenaga penuh berdasarkan piawaian antarabangsa, di mana sesebuah negara dianggap mencapai tahap demikian selagi kadar pengangguran berada di bawah empat peratus.

“Oleh itu walaupun sesebuah negara itu diisytihar sebagai guna tenaga penuh, ia tidak bermaksud bahawa tiada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan,” katanya ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Kulasegaran ingin tahu mengapa Malaysia diisytihar mencapai tahap guna tenaga penuh walaupun masih terdapat ramai penganggur dalam negara serta apakah langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran tempatan.

Subramaniam berkata sesetengah graduan mungkin gagal mendapat pekerjaan kerana faktor-faktor seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian yang mereka ikuti dan banyak majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pelantikan.

Beliau berkata ada juga kalangan graduan tempatan yang didapati kurang kemahiran untuk berkomunikasi, selain lemah dalam aspek menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya bagi kalangan bukan graduan pula, antara faktor mereka gagal memperoleh kerja adalah disebabkan sikap mereka yang terlalu memilih pekerjaan, mengharapkan gaji tinggi, kurang maklumat terhadap peluang pekerjaan dan tawaran gaji yang diterima tidak sepadan dengan kos sara hidup.

Subramaniam berkata antara langkah kerajaan bagi menangani perkara itu ialah dengan membuka 12 pusat jobsMalaysia Centre di seluruh negara pada setiap Sabtu mulai 8 pagi hingga 5 petang dan merancang 143 Program Penempatan Pekerjaan di seluruh negara dalam transformasi untuk meningkakan penempatan pencari kerja.

Katanya kementerian turut memperkenalkan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 bagi menggalakkan penyertaan golongan sasaran di luar tenaga buruh untuk menyertai pasaran kerja.

“Agensi-agensi kerajaan turut memainkan peranan dalam melaksana dan menyelaras beberapa program seperti Graduate Employment Management Scheme (GEMS) oleh Khazanah Nasional Berhad dan Malaysia Graduate Trainee Programme (GTP) oleh Multimedia Development Corporation (MDeC),” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");