Berita Hari Ini
Like

DUN Sarawak: Kaum Cina dijangkiti ‘virus rasis’ DAP, dakwa Mahathir

April 19, 2011
497 Views
0 Comments
2 minutes read
DUN Sarawak: Kaum Cina dijangkiti ‘virus rasis’ DAP, dakwa Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR), yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka, kelmarin.

Bekas perdana menteri itu berkata pada masa-masa lalu DAP ditolak sepenuhnya oleh penduduk Sarawak.

Dalam nada sindir, Dr Mahathir (gambar) menulis, “saya mengucapkan tahniah kepada DAP yang membawa masuk politik rasis ke Sarawak.”

“Sebelum ini kesemua kaum bekerjasama antara satu sama lain bagi kebaikan Sarawak. Sekarang, kita boleh lihat dengan jelas bahawa komuniti Cina telah menolak multirasialisme.

“Kemungkinan SUPP ada melakukan kesilapan, tetapi yang lain-lain dalam BN juga didapati ada kekurangan. Tetapi keseluruhan penolakan adalah oleh masyarakat Cina,” kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak yang berlangsung kelmarin, BN mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan berbanding 2006.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP-PAS-PKR memperoleh 15 kerusi dan Bebas satu.

Sambil mendakwa beliau akan dipanggil sebagai rasis kerana membangkitkan perkara ini, kata Dr Mahathir, sepanjang lima dekad lalu kaum-kaum di Malaysia telah bekerjasama untuk membina negara.

“Dunia telah menyaksikan kerajaan BN yang stabil dengan kuasa dan kekayaan dikongsi oleh semua kaum dengan adil.

“Tiada kaum yang memperoleh semua yang dianggap sebagai hak mereka – bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Iban, Kadazan atau sebagainya. Kesemua perlu mengorbankan sesuatu. Ini (bahagian) penting dalam perkongsian,” katanya lagi.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir mendakwa DAP mengamalkan pendekatan sedemikian dan pernah menyamakan dengan pendekatan PAP dari Singapura.

Sebaliknya dakwa Dr Mahathir, persekitaran perkongsian kuasa dan kekayaan ini dimusnahkan oleh DAP dengan memisahkan kaum Cina daripada kaum-kaum lain.

Sehubungan itu, kata bekas presiden Umno ini, beliau berharap perkara yang sama tidak berulang apabila negara mengadakan pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut dalam waktu terdekat.

Komen & Pendapat

Leave a Reply