Perak Hari Ini

Institusi Raja Perlu Tegas Untuk Kekal Berada Di Atas Politik – Raja Dr Nazrin Shah

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, institusi diraja perlu tegas untuk kekal berada di atas politik.

Baginda bertitah tugas itu bukanlah sesuatu yang ringan kerana ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman serta kedewasaan seseorang Raja itu.

“Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, pelbagai agama, di tambah pula dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi,” titahnya.

Raja Nazrin bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun ke-83 keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini Selasa.

Baginda bertitah pada masa kini, pemahaman rakyat terhadap institusi Raja adalah seperti berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur mengenai peranannya.

Titah baginda, Raja di negara-negara seperti Mesir, Yemen, Tunisia dan Libya digulingkan kerana dianggap gagal melaksanakan pemerintahan secara baik, serta pada masa sekarang di kalangan pemimpin mereka yang bukan daripada kalangan Raja juga menghadapi desakan rakyat untuk berundur.

“Malah ada di kalangan mereka yang pada hari ini didesak untuk berundur, pernah terlibat baik secara langsung atau tidak langsung melakukan rampasan kuasa menggulingkan Raja di suatu masa dahulu,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah Raja Pemerintah adalah terdiri daripada rangkaian institusi dan individu di mana kesilapan individu boleh dilakukan oleh Raja dan boleh dilakukan oleh pemimpin dari kalangan bukan Raja.

“Sejarah mencatatkan apabila kesilapan individu itu dilakukan oleh seorang Raja, maka bukan sahaja Raja secara individu dihukum untuk berundur, tetapi Raja sebagai institusi pemerintahan turut dihapuskan,” titahnya.

Baginda bertitah apabila para pengasas kemerdekaan negara bijak membentuk kerajaan yang merdeka di bawah naungan Raja berperlembagaan, maka adalah menjadi tanggungjawab Raja Pemerintah memperlihatkan kepada rakyat mengenai relevansi institusi Raja, terutama dalam memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Titah baginda, ‘The Economist Intelligence Unit Democracy Index’ mencatatkan tujuh daripada 10 negara yang berada di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai institusi Raja Berperlembagaan.

Manakala penemuan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa merekodkan tujuh daripada 10 negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai institusi Raja Berperlembagaan.

Menyentuh pemerintahan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah telah membuktikan peranan relevan yang boleh disempurnakan oleh seorang Raja di era moden dan baginda telah memberikan teladan bahawa Raja berperanan untuk menstabilkan rakyat, mempertahankan integriti negara dan meneruskan kesinambungan negara bangsa.

Baginda bertitah, dalam suasana dinamik politik yang sedang berlaku ketika ini, institusi Raja sedang melalui satu lagi evolusi.

“Anakanda yakin bahawa dengan pengalaman dan hikmah Paduka Seri Ayahanda, bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, institusi Raja di bumi ini, akan menemui paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah,” titah baginda.

Sultan Azlan Shah juga memberikan panduan betapa penting Raja Pemerintah berada di atas ketiga-ketiga cabang kerajaan iaitu kuasa legislatif, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman, titah baginda.

“Di mana sesuai dan ketika diperlukan, Paduka Seri Ayahanda telah secara arif, bertindak sebagai penimbang tara kepada sebarang konflik yang timbul.

“Dapatlah dirumuskan bahawa Paduka Seri Ayahanda dalam menyempurnakan amanah membuktikan bahawa Raja yang berdaulat, meskipun tidak memiliki kuasa eksekutif, tetap berupaya menyempurnakan peranan secara berkesan,” titah baginda.

– BERNAMA

KLIK PADA LINK UNTUK KE GALERI SEKITAR SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN KE-83 TERSEBUT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");