Perak Hari Ini

Jangan Terpedaya Dengan Skim Saham Tidak Berlesen – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim saham tanpa lesen yang kelihatan menarik tetapi mengundang risiko.

“Ada juga macam-macam yang ditawarkan kepada rakyat seperti skim yang tidak berlesen yang berbunyi ‘jika melabur RM1, dapat pulangan RM1,000.

Skim-skim seperti ini mungkin menarik (dengan) sekali kita pandang, tetapi akhirnya kita boleh menjadi mangsa kepada skim seperti ini,” katanya semasa melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Kompleks Sukan negeri Perak di sini Rabu.

Perdana Menteri berkata skim-skim amanah yang diterbitkan untuk rakyat bukan sahaja memberi peluang kepada yang berkemampuan sahaja, malah pelabur kecil juga menikmatinya kerana skim amanah berkenaan mengurangkan risiko pelaburan pada tahap yang paling minimum.

Beliau berkata rakyat yang mahu melabur dalam skim-skim amanah tidak seharusnya memikirkan pulangan dalam bentuk dividen atau bonus semata-mata, tetapi perlu juga meneliti pelaburan itu tidak terdedah kepada risiko tinggi.

Beliau juga menyifatkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mencapai kejayaan dengan ‘transformasi minda’ di kalangan rakyat yang rata-rata di seluruh negara sudah celik dengan pengetahuan serta tahu melakukan pelaburan dan penabungan dengan bijak.

Katanya oleh yang demikian dengan terkumpulnya dana yang besar, negara juga berjaya menguasai sebahagian syarikat yang jenamanya dahulunya dikaitkan dengan negara penjajah.

“Jenama seperti Sime Darby, Guthrie dan Island and Peninsular dan lain-lain dikaitkan dengan pihak British yang menakluk negara kita sekian lama tetapi apabila kita wujudkan skim-skim amanah ini meskipun tidak ditukar nama tetapi syarikat ini hari ini adalah milik rakyat Malaysia,” katanya.

Najib berkata bukan setakat syarikat itu dipindah milik tetapi yang lebih penting, negara menunjukkan kemampuan menguruskan syarikat tersebut dengan memperoleh keuntungan yang besar dan membolehkan pembayaran dividen yang menarik kepada pelabur.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");