Perak Hari Ini

Kaji skim pinjaman mudah galak rakyat berpendapatan rendah labur unit amanah saham

Rakyat berpendapatan rendah di negara ini akan berpeluang menyertai pelaburan unit amanah melalui pendekatan skim pinjaman mudah yang bakal diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika ini kerajaan sedang mengkaji pendekatan itu bagi membolehkan golongan berkenaan melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Melalui skim ini, ia akan memberi peluang seluas-luasnya kepada rakyat berpendapatan rendah untuk menyertai pelaburan unit amanah saham,” katanya berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Stadium Indera Mulia, di Ipoh, petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Mengulas lanjut pada sidang akhbar selepas itu, Najib berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan PNB bagi mewujudkan skim pinjaman mudah bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah melabur, sekaligus menjamin masa depan mereka.

“Pinjaman untuk tujuan pelaburan ini akan dibayar balik melalui dividen yang diisytiharkan oleh PNB pada setiap tahun.

“Butiran lanjut mengenai skim ini akan diumumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu diambil memandangkan keberkesanan tabung amanah PNB dalam mendidik dan menyermai sikap melabur di kalangan rakyat Malysia.

Terdahulu, Najib turut menasihatkan golongan pelabur supaya tidak memikirkan keuntungan semata-mata tetapi keuntungan dengan risiko yang paling rendah selain berhati-hati dengan skim yang ditawarkan syarikat tidak berlesen.

“Jangan mudah terpedaya dengan skim berkonsepkan melabur RM1 boleh dapat RM1,000 …walaupun tawaran menarik tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan.

“Sebaliknya rakyat perlu melabur dalam unit amanah saham yang dikendalikan oleh PNB memandangkan pulangannya yang lumayan dengan risiko sangat minimum,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, PNB juga katanya, berjaya melakukan tranformasi minda masyarakat terhadap dunia pelaburan.

Katanya, semakin ramai yang menerima unit amanah saham sebagai salah satu instrumen tabungan dan pelaburan utama.

“Rakyat dan para pelabur kini lebih faham tentang selok-belok pelaburan dan mampu membuat perbandingan antara satu produk dengan produk pelaburan lain selain lebih maklum mengenai konsep risiko dan pulangan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");