Perak Hari Ini

Kami perlukan jalan darat

Sejak 25 tahun lalu, lebih 2,000 penduduk Kampung Kuala Sepetang terpaksa menggunakan bot tambang untuk berulang-alik ke pekan terdekat bagi menyelesaikan urusan seharian berikutan ketiadaan jambatan.

Meskipun perjalanan menggunakan bot hanya memakan masa kurang daripada lima minit, penduduk berdepan dengan risiko yang tinggi terutama warga emas, kanak-kanak dan murid.

Penduduk, Oi Kin Liu, 52, berkata, sebelum ini, pernah berlaku beberapa insiden buruk melibatkan penduduk termasuk murid yang terjatuh ke dalam sungai ketika menaiki bot penambang itu.

Menurutnya, mereka tiada pilihan lain selain menggunakan bot tambang kerana ia satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan penduduk perkampungan nelayan itu ke kawasan luar.

“Sudah menjadi kebiasaan kepada kami, tetapi sekurang-kurangnya jika ada jambatan dapat menyelamatkan kami daripada terus menggunakan pengangkutan bot,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra anjuran Pertubuhan Kebajikan As Siddiq, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk yang juga aktivis masyarakat, Yeong Ye Huar, 30, berkata, permohonan untuk mendapatkan kemudahan jambatan itu sudah lama dibuat tetapi, sehingga kini masih tiada maklum balas mengenainya.

Menurutnya, masalah itu membelenggu penduduk dan kegagalan pihak berkaitan menyediakan jambatan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan bahkan ia dijadikan modal berkempen ketika pilihan raya kecil lalu.

“Saya bimbang jika masalah itu tidak diselesaikan segera, isu berkenaan akan dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab untuk terus menyalahkan kerajaan, sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain berkata, pihaknya akan membantu membawa masalah itu kepada pihak berkaitan selain menyelesaikan secara berperingkat beberapa isu terpencil yang dihadapi penduduk di perkampungan itu.

“Sebagai permulaan, kita akan baik pulih kemudahan seperti gelanggang bola keranjang yang sudah uzur dan menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk miskin di kampung itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");