Perak Hari Ini

Kesedaran pelaburan perlu dipertingkatkan di kalangan rakyat : DS Zambry

Kesedaran terhadap kebaikan pelaburan di kalangan rakyat Perak perlu dipertingkatkan dalam usaha menjadikan negeri itu antara pelabur tertinggi dalam amanah saham menerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberitahu kerajaan negeri akan berusaha keras untuk meningkatkan langganan unit saham di kalangan rakyat perak.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan menetapkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan pelaburan amanah saham di mana Perak berada pada tangga keenam dengan langganan sebanyak 8.8 bilion unit oleh 889,000 individu.

Tambah Zambry, apa yang diharapkan kini adalah rakyat dapat mengambil peluang untuk membuat pelaburan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang kini diadakan di negeri itu.

Beliau berkata, dengan berlangsungnya MSAM, ia diharap dapat meningkatkan kefahaman tentang pelaburan, dana amanah dan cara-cara merancang kewangan di kalangan rakyat Perak.

“Saya mahu kita pastikan selepas ini kedudukan pelaburan dalam Amanah Saham bagi rakyat Perak melonjak ke tangga yang lebih baik.

“Ini sekaligus akan menjadikan Perak sebagai sebuah negeri yang mempunyai bilangan langganan unit amanah saham PNB di peringkat tertinggi di Malaysia,” katanya.

Selain itu, terang Zambry, usaha itu seiring dengan hasrat kerajaan pusat untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat dan sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Melalui pelaburan amanah saham katanya, pihak PNB menawarkan kadar keuntungan tinggi dengan tahap risiko yang minimum.

Jelas beliau, pelaburan yang ditawarkan amanah saham PNB merupakan antara program yang jarang ditemui dimana rakyat secara khususnya diberi pendidikan mengenai cara-cara pengurusan kewangan pendapatan.

“Keputusan untuk melabur dalam unit amanah saham PNB merupakan antara jalan terbaik kepada rakyat setelah mempunyai ilmu pelaburan yang didapati daripada MSAM.

“Ia adalah satu keputusan paling bijak kerana ia merupakan satu pelaburan yang menjanjikan risiko di tahap yang sangat minimum,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia.

Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Diraja Mohd Najib Tun Abdul Razak itu menyaksikan kehadiran lebih 5,000 rakyat Perak.

Turut hadir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Seri Datuk Hamad Kama Piah Che Othman, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");