Perak Hari Ini, Sukan Hari Ini

Malaysia Main Empat Perlawanan Malam Pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah

Cabaran Malaysia untuk muncul antara empat pasukan terbaik pada Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah 2011 bermula apabila skuad negara berdepan dengan Britain pada hari pembukaan kejohanan itu di Ipoh, Perak pada 5 Mei ini.

Selain Malaysia dan Britain, kejohanan edisi ke-20 itu akan disertai oleh oleh lima pasukan bertaraf dunia iaitu juara Piala Dunia 2010, Australia, juara Asia 2009, Korea Selatan, juara Sukan Asia 2010, Pakistan, India dan New Zealand.

Pengerusi Pengelola Kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff, berkata kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah di sini mulai 5 hingga 15 Mei ini dengan tiga perlawanan dijadual pada hari pertandingan.

“Penonton boleh menyaksikan semua perlawanan hingga peringkat akhir secara percuma,” katanya pada sidang media di sini Khamis.

Abdul Rahim, yang juga naib presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), berkata Malaysia berazam untuk menjadi empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu.

Kejohanan tahunan itu akan menjadi medan persediaan buat skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang dijadual bermula tahun depan.

Selepas pertemuan dengan Britain, Malaysia akan menentang Australia pada 6 Mei sebelum berehat selama dua hari sebelum berdepan dengan India pada 9 Mei diikuti New Zealand (11 Mei), Korea Selatan (12 Mei) dan Pakistan pada 14 Mei.

Dua pasukan teratas selepas liga satu pusingan itu akan berentap pada final pada 15 Mei manakala tempat ketiga akan ditentukan menerusi perlawanan antara pasukan ketiga dan keempat dalam liga.

Pada tahun lepas, India dan Korea Selatan diisytiharkan sebagai juara bersama selepas perlawanan akhir terpaksa dihentikan kerana cuaca buruk.

Perlawanan akhir menyaksikan 12 minit permainan sebelum hujan lebat ketika kedudukan terikat 0-0.

Malaysia hanya menduduki tempat keempat selepas tewas 5-3 kepada Australia pada perlawanan menentukan tempat ketiga.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan itu ialah pada edisi ke-18, 2009, apabila muncul naib juara selepas tewas 1-3 kepada India pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, Malaysia mencipta sejarah dalam temasya Sukan Asia apabila memperoleh pingat perak selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir di Guangzhou, China, November lepas.

JADUAL PERLAWANAN: (Stadium Sultan Azlan Shah Ipoh)

—————————————————
5 Mei – New Zealand mn Pakistan (4.05 petang)

Korea Selatan mn India (6.05 petang)

Britain mn MALAYSIA (8.05 malam)

6 Mei – Korea Selatan mn Pakistan (4.05 petang)

Britain mn India (6.05 petang)

Australia mn MALAYSIA (8.05 malam)

7 Mei – REHAT

8 Mei – Australia mn India (4.05 petang)

Britain mn Pakistan (6.05 petang)

Korea Selatan mn New Zealand (8.05 malam)

9 Mei – Australia mn Pakistan (4.05 petang)

Britain mn New Zealand (6.05 petang)

India mn MALAYSIA (8.05 malam)

10 Mei – REHAT

11 Mei – New Zealand mn MALAYSIA (4.05 petang)

Australia mn Korea Selatan (6.05 petang)

Pakistan mn India (8.05 malam)

12 Mei – Australia mn Britain (4.05 petang)

New Zealand mn India (6.05 petang)

Korea Selatan mn MALAYSIA (8.05 malam)

13 Mei – REHAT

14 Mei – Britain mn Korea Selatan (4.05 petang)

Pakistan mn MALAYSIA (6.05 petang)

Australia mn New Zealand (8.05 malam).

15 Mei – Penentuan Tempat 5/6 (3.35 petang)

Tempat 3/4 (6.05 petang)

FINAL (8.05 malam).

–BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");