Perak Hari Ini

Datuk AC Mizal dan Datin Emylia Rosnaida antara 500 ahli baru UMNO Perak

Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini mencetuskan trend positif apabila semakin ramai rakyat terutamanya dalam Parlimen Ipoh Barat menyertai parti keramat orang Melayu iaitu UMNO.

Terbaru, pelakon dan bekas pengacara Akademi Fantasia yang kini bergelar perniagaan, Datuk AC Mizal dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida turut mengambil keputusan menyertai UMNO.

Exco Kanan negeri merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, UMNO adalah parti keramat orang Melayu kerana tiada parti lain selain UMNO yang mampu membela nasib orang Melayu dari segi agama, bangsa dan tanahair sejak dahulu, kini dan selama-lamanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jom Sertai Umno adalah anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, diketuai oleh Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang berlangsung di Restoran Simpang Tiga Greentown Square, malam tadi.

Kira-kira 500 ahli baru turut diterima masuk menyertai UMNO pada majlis itu yang disempurnakan oleh Hamidah yang juga merupakan Adun Sungai Rapat.

Dalam perkembangan sama,  Hamidah menjelaskan, selepas pilihanraya negeri Sarawak, UMNO menerima banyak permintaan terutamanya daripada orang muda yang berminat untuk menyertai parti berkenaan.

Perkembangan itu katanya, amat dialu-alukan oleh UMNO kerana dalam situasi hari ini, orang Melayu perlu bersatu demi mempertahankan hak mereka di bumi Malaysia.

“Orang muda juga amat diperlukan sebagai pelapis untuk menggantikan pemimpin yang sedia ada apabila tiba masanya kelak,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang memihak kepada BN antara faktor utama yang menimbulkan kesedaran kepada orang muda untuk menyertai UMNO dan beliau menjangka lebih ramai akan menyertai parti terbabit selepas ini.

Sementara itu, AC Mizal yang ditemui pengamal media sejurus program selesai berkata, beliau bersedia untuk membantu UMNO memenangi pilihanraya umum ke 13.

“Saya bukan masuk UMNO untuk menjadi ahli sahaja tetapi saya juga bersedia membantu jentera UMNO untuk menarik lebih ramai ahli baru masuk ke dalam parti ini  dan sama-sama bergiat cergas.

“Penghargaan juga buat Syamsul Baharin Putra yang membimbing saya untuk menyertai UMNO kerana pada dasarnya saya ingin aktif sebagai ahli dan bukan untuk mengejar jawatan dalam parti.

“Kebelakangan ini ada parti lain yang cuba memancing saya menyertai mereka tetapi saya menolaknya kerana lebih berminat kepada UMNO.  Sebenarnya, arwah bapa mertua dan ibu mertua kedua-duanya adalah orang kuat UMNO.

“Arwah bapa pernah memberitahu saya jika mahu aktif dalam UMNO, kalau boleh balik ke Perak dan akhirnya saya memilih untuk menyertai UMNO Bahagian Ipoh Barat,” katanya lagi.

Tegasnya, UMNO sudah lama dan banyak berjasa kepada rakyat Malaysia dan sudah tiba masanya untuk golongan muda membalas jasa parti itu pula.

Dalam perkembangan berkaitan, Syamsul Baharin Putra menegaskan pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid yang hadir pada majlis itu sebagai tanda sokongan kepada AC Mizal turut menjadi ahli parti selepas menyertai UMNO Bahagian Gopeng.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");