Perak Hari Ini

MBI mahu contohi DBKK perkenal konsep Tanpa Sampah

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berminat untuk mempraktikkan konsep Tanpa Sampah yang digunapakai oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), kata Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim.

Tertarik dengan konsep yang diperkenalkan sejak 2008 itu, ia katanya, terbukti berjaya mendidik masyarakat Kota Kinabalu betapa pentingnya untuk mengekal dan menjaga kebersihan di kawasan persekitaran mereka.

“Ia merupakan konsep yang baik dan memerlukan penyertaan semua pihak.

“Saya yakin sikap wargakota Ipoh akan berubah berdasarkan kepada usaha yang kita laksanakan selama ini. Tetapi ia masih memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjayakan konsep ini,” katanya selepas melawat Kampung Cenderamata 11, iaitu kampung pertama tanpa sampah di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, beliau nyata kagum dengan tahap kebersihan kampung dan tong sampah juga kelihatan di merata-rata tempat.

“Kanak-kanak di sana juga tahu di mana dan bagaimana cara untuk melupuskan sampah dengan betul.

“Saya juga percaya penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara agresif bagi mencegah perbuatan membuang sampah merata-rata.

“Di Ipoh, kita mungkin boleh mewujudkan zon bebas sampah dan saya akan menyediakan peruntukan khas untuk zon yang terbersih,” katanya.

Terdahulu,  sesi taklimat tiga jam yang disampaikan oleh Pengarah Urusan DBKK, Datuk Yeo Boon Hai memaklumkan bahawa konsep Tanpa Sampah itu adalah sebahagian daripada proses pendidikan untuk menyedarkan masyarakat tempatan mengenai masalah pembuangan sampah.

“Kami juga menganjurkan ceramah, seminar dan kempen bagi menjayakan projek ini.

“Kakitangan DBKK melawat kampung serta syarikat swasta dan meminta mereka ini bekerjasama dalam mewujudkan zon bebas sampah.

“Di pihak DBKK pula, kami menyediakan insentif dalam bentuk projek infrastruktur dan sijil bagi menghargai serta mengiktiraf kejayaan mereka,” katanya.

Yeo berkata, selain kampung, Kota Kinabalu juga mempunyai bandar, sekolah dan bank yang bebas sampah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");