Perak Hari Ini

MBI senang turun padang

Aktiviti turun padang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menunjukkan kejayaan kerana ia bukan sahaja mampu mendekatkan agensi berkenaan dengan masyarakat setempat tetapi dalam masa yang sama mampu berkongsi masalah untuk diselesaikan.

Apabila aktiviti seumpama ini diteruskan ia dapat mengurangkan jurang yang wujud antara kedua-dua pihak selain mampu menyelesaikan sesuatu masalah itu dengan lebih cepat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata, adalah diharap juga masyarakat setempat dapat memahami setiap kekangan yang dihadapi pihak MBI, walau bagaimanapun, tindakan segera akan diambil jika berlaku sebarang masalah.

Menurutnya, pihak MBI juga sebenarnya menyahut pesanan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang sentiasa menyarankan agar setiap pegawai kerajaan termasuk wakil rakyat dapat turun padang melihat permasalahan rakyat.

“Aktiviti turun padang ini sememangnya mampu mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat dan ia terbukti apabila kita berjaya melaksanakannya sebelum ini.

“Kita telah mendapat maklum balas yang begitu baik dan cukup positif daripada masyarakat setempat ketika saya sendiri turun padang meninjau permasalahan yang dihadapi penduduk,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Beliau berkata, apabila semua kakitangan dapat turun padang, pelbagai aspek akan dapat dilihat dan setiap masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan hingga ke akar umbi.

“Ini adalah trend baru yang dilihat mula mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dan kita akan terus kekalkannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Roshidi turut mengulas berkaitan 87 kompaun yang telah dikeluarkan pihak MBI sepanjang Mac lalu bagi masalah pembuangan sampah haram di merata tempat dan tempat-tempat tidak sepatutnya.

“Daripada jumlah 87 tawaran kompaun bernilai RM22,000 telah dikeluarkan kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan 10 tangkapan haiwan merayau dengan jumlah denda bernilai RM8,180 telah dikutip di sekitar bandar raya Ipoh.

:“Bahagian Penguatkuasaan juga telah mengikuti dua Operasi Musnah Anjing Liar dan dua Operasi Tangkap Haiwan Merayau bersama Jabatan Veterinar Negeri pada bulan yang sama,” katanya.

Katanya, tindakan mengkompaun serta nasihat telah diberikan kepada individu-individu yang membuang sampah sarap di tempat awam.

“Manakala bagi haiwan merayau, tindakan menangkap akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");