Berita Hari Ini

Najib hargai peranan syarikat Korea

SEOUL 5 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merakam penghargaan yang tinggi kepada syarikat-syarikat Korea Selatan kerana sumbangan besar mereka kepada pembangunan negara sejak kedua-dua negara mewujudkan hubungan diplomatik 51 tahun yang lalu.

Beliau berkata, chaebol (syarikat gergasi) Korea, Samsung telah membantu membina salah satu daripada dua Menara Petronas pada 1998, malah menara yang dibina Samsung berjaya disiapkan dahulu dan siap sebelum tempoh jadualnya.

Selain itu, katanya, syarikat Hyundai pula membina Jambatan Pulau Pinang pada 1985 dan lebih menarik lagi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ketika itu ialah Lee Myung-bak, yang kini merupakan Presiden Korea Selatan.

Najib menceritakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Pelaburan Mengenai Peluang Perniagaan di Malaysia di sini hari ini, yang dihadiri lebih 600 tokoh serta peneraju industri dan korporat Malaysia dan Korea Selatan.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan tiga hari ke Korea Selatan bermula semalam dan ini adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara ini yang juga dikenali sebagai Republik Korea (ROK).

Najib berkata, lawatannya ke Korea Selatan ini merupakan lawatan ketiga beliau ke sini – pertama, semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kommemoratif ASEAN-Korea Selatan di Pulau Jeju pada 2009 dan sebelum ini pada 2007, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Beliau mengakui hubungan antara rakyat dengan rakyat turut bertambah baik dengan kehadiran ‘Little Korea’ di pusat beli-belah, One Ampang Avenue, di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

”Mulai tahun lalu, syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengadakan penerbangan harian antara Seoul dan Kuala Lumpur. Dengan kehadiran AirAsia pula, hubungan antara kedua-dua negara menjadi lebih murah, sekali gus merapatkan jurang sempadan geografi kita.

“Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada 315 syarikat Korea, termasuk Samsung, Kiswire, Hyundai dan Posco. Korea adalah salah satu negara utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, yang menjanakan hampir 300 projek pengilangan dan mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan,” jelas beliau.

Semasa menghadiri seminar peluang perniagaan itu, Najib menyaksikan pertukaran dokumen tujuh perjanjian bersama (MoU) antara sektor swasta dari kedua-dua negara.

Terdahulu pagi ini, Perdana Menteri mengadakan ‘pertemuan minda’ dengan beberapa konglomerat dan kumpulan pemikir Korea Selatan.

Selepas menghadiri sesi dialog dan seminar perniagaan, Najib telah ke Istana Presiden yang dikenali sebagai Cheong Wa Dae (Rumah Biru) bagi mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Myung-bak.

Selepas mengadakan mesyuarat bilateral, Perdana Menteri dan Presiden menyaksikan pula majlis pemeteraian serta pertukaran dokumen dua MoU antara kerajaan Malaysia dan kerajaan ROK dalam bidang pengurusan lebuh raya, dan pendidikan serta latihan. – UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");