Berita Hari Ini

Pas Perlis mohon maaf

KANGAR 5 April – Pas negeri hari ini memohon maaf berhubung kematian seorang murid sebuah sekolah agama kelolaan parti itu di Jejawi dekat sini kelmarin yang dipercayai akibat dipukul gurunya, baru-baru ini.

Sambil merakamkan rasa dukacita di atas kejadian di salah sebuah institusi pendidikan di bawah kelolaan parti berkenaan, Pesuruhjaya Pas negeri, Hashim Jasin dalam satu kenyataan hari ini turut memohon maaf kepada seluruh warga pendidik.

Menurutnya, ini disebabkan peristiwa tersebut turut mencalarkan imej dan persepsi umum terhadap golongan itu.

Kata beliau, Pas negeri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta pihak keluarga guru asrama yang terbabit dalam kejadian itu.

Kenyataan tersebut dibuat berikutan kematian seorang murid, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, kelmarin dipercayai akibat dipukul gurunya di asrama sekolah berkenaan.

Hashim berkata, kejadian berkenaan memeranjatkan pihaknya setelah lebih 25 tahun mengelola institusi pendidikan parti itu.

Sehubungan itu, kata beliau, Pas negeri berharap supaya proses siasatan dan perbicaraan kes tersebut dijalankan secara rapi bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak.

Menurut beliau, Pas negeri telah menjalankan tanggungjawab dan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak keluarga murid, keluarga tertuduh dan agensi keselamatan bagi menguruskan kes itu.

Di samping itu, kata beliau, Pas juga mengambil langkah-langkah wajar bagi memastikan semua institusi pendidikan milik parti berkenaan beroperasi dalam suasana pembelajaran yang selamat dan lancar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");