Perak Hari Ini

PNB intai peluang pelaburan

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) kini agresif mengintai peluang untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang mampu memberi nisbah pulangan sebanyak 75 peratus.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pelaburan itu menjadi fokus PNB untuk memastikan ia mampu mengekalkan pembayaran agihan dividen yang kompetitif secara berterusan.

Meskipun enggan mendedahkan syarikat pelaburan terbabit, namun beliau membayangkan salah satu sektor pelaburan tersebut ialah hartanah.

“Pelaburan dalam hartanah adalah fokus utama kerana ia berupaya memberi pulangan dan nilai yang baik kepada PNB.

“Pembelian CX1, CX2 dan CX5 daripada CSF Group Plc (CSF) adalah contoh terbaik kerana aset itu dapat memberi pulangan yang tinggi kepada PNB,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain pendekatan itu, katanya, PNB akan meneruskan proses rasionalisasi syarikat-syarikat pelaburannya seperti yang dilakukan ke atas Golden Hope Bhd., Guthrie Bhd. dan Sime Darby Bhd.

Menurut beliau, proses rasionalisasi itu jelas mampu memberi penambahan nilai lebih tinggi

”Inilah strategi PNB untuk jangka panjang demi kelangsungan operasi PNB pada masa depan untuk mengekalkan pembayaran dividen kepada pemegang saham kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamad Kama Piah menyifatkan jumlah celik pelaburan di kalangan masyarakat Malaysia kini semakin meningkat, sekali gus membolehkan PNB menawarkan produk-produk sofistikated pada masa depan.

Jelasnya, perkembangan itu adalah hasil berterusan PNB dalam memberi pendedahan awal tentang pelaburan yang bermula dengan konsep pulangan dan risiko dan kini menumpukan kepada perancangan ekonomi.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kita dapati masyarakat Malaysia semakin memiliki pengetahuan yang baik dalam pelaburan dan prestasi itu menyebabkan jumlah pelabur yang melabur dalam unit amanah harga berubah-ubah juga meningkat,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");