Perak Hari Ini

RM50,000 diluluskan naiktaraf kemudahan eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew

Kerajaan Perak meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menaiktaraf kemudahan eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew, dekat Taiping yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, masyarakat kampung itu cukup bertuah kerana dianugerahkan tarikan eko-pelancongan kelip-kelip yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Katanya, selain bekerja sebagai nelayan dan terbabit dalam industri pembuatan kayu arang, penduduk boleh menambah pendapatan sedia ada dengan menjadi jurupandu pelancong atau menyewakan bot mereka untuk membawa pelancong melihat kelip-kelip yang hinggap dan menjadikan pokok berembang di tebing Sungai Sepetang sebagai habitat semulajadinya.

Katanya, kerajaan negeri yakin eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew berpotensi dikomersilkan hingga ke peringkat antarabangsa jika penduduk tempatan dan agensi bertanggungjawab seperti Tourism Malaysia dapat memberi bekerjasama dengan baik.

“Promosi secara besar-besaran antara aspek penting yang perlu difikirkan untuk memajukan eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew termasuklah dengan menerbitkan brosur yang lebih bermaklumat serta meletakkan papan tanda besar di tempat strategik bagi memudahkan pelancong berkunjung ke sini.

“Selain itu, masyarakat tempatan juga perlu bersedia menerima kehadiran pelancong dengan menjaga kebersihan persekitaran kampung serta memastikan habitat semulajadi kelip-kelip terus kekal terpelihara bagi mengelak ia diancam kepupusan,” katanya ketika berucap selepas melawat eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew, malam tadi.

Terdahulu, Hamidah bersama rombongan media turut berpeluang menikmati mee rebus udang galah dan melawat industri pembuatan kayu arang yang dimasukkan dalam pakej eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew.

Dalam perkembangan sama, Hamidah berkata, pakej eko-pelancongan kelip-kelip itu juga diharap dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri untuk dipromosikan sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Sebagai permulaan, Pesta Kelip-Kelip Kampung Dew akan diadakan sekitar Julai depan bagi mempromosikan eko-pelancongan itu yang turut boleh disaksikan di Kuala Selangor yang terletak di persisiran pantai barat Semenanjung Malaysia, katanya.

“Saya begitu terpegun melihat keunikan kelip-kelip ini yang mengeluarkan cahaya secara serentak dan ia adalah satu anugerah yang perlu dihargai, dipelihara dan dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Selain menjaga kebersihan Sungai Sepetang ini, kawasan daratan yang terletak 30 hingga 90 meter dari tepi sungai tidak boleh diusik dengan pembangunan kerana dibimbangi kelip-kelip yang hidup di sekitar pokok berembang akan pupus,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu juga, Hamidah turut menyaksikan majlis pelancaran Kelab Cahaya Alam Perak (KECAP) yang mana Adun Trong yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin dipilih sebagai penaung kelab berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");