Perak Hari Ini

Rukun Negara perlu dihayati

Penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan masyarakat masih rendah sehingga ada yang tidak menghormati asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Masyarakat dan Sosial Wanita UMNO Negeri, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, antara rukun penting dalam Rukun Negara adalah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Menurutnya, bagi memupuk penghayatan itu, sesuatu perlu dilakukan di peringkat bawahan.

“Sekarang ini rasa hormat kepada Rukun Negara khususnya institusi beraja semakin terhakis terutama golongan muda.

“Jadi kita tidak mahu perkara ini berterusan dan akan memberikan kesan buruk kepada negara kelak,” katanya dalam satu sidang media Pertandingan Menulis Esei Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-83 di Pejabat Sekretariat di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Sekretariat Tugas-tugas Khas Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mohd Radzi Manan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan wakil daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Nadzeri Hassan.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu diwujudkan bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid dan golongan muda dalam mengenali dan memahami sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata, dengan kerjasama JPN, penyertaan bagi pertandingan itu akan diperluaskan kepada semua sekolah di negeri ini.

Normah Hanum berkata, penyertaan juga tidak terhad kepada murid dan pelajar sekolah tetapi turut memberi peluang kepada penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan orang awam yang berminat.

Beliau berkata, pertandingan esei berkenaan mendapat sokongan Ketua Wanita UMNO Negeri, Datuk Rusnah Kassim kerana ia diadakan julung kalinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");