Berita Hari Ini
Like

Saya akan bentuk kepimpinan baru mantap – Taib

April 19, 2011
372 Views
0 Comments
2 minutes read
Saya akan bentuk kepimpinan baru mantap – Taib

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau akan menggunakan kesempatan tempoh pertengahan penggal sebelum bersara untuk membentuk barisan kepimpinan baru yang mantap supaya pelabur tetap yakin dengan Sarawak.

Beliau berterima kasih kepada rakyat Sarawak kerana terus menyokong Barisan Nasional (BN) dan memberi mandat kepada parti itu membentuk kerajaan.

Katanya, kemenangan BN pada pilihan raya negeri hari ini membuktikan rakyat Sarawak tidak terpengaruh dengan budaya politik negatif yang cuba dibawa parti pembangkang dari luar.

Tegasnya, rakyat Sarawak tidak dapat menerima cara politik yang mengapi-apikan mereka, menimbulkan syak wasangka, perkauman dan cuba menimbulkan rasa takut.

“Saya akan buat Kertas Putih supaya budaya ini tidak berlaku di Sarawak dan kalau yang dah masuk, kita pastikan tidak berterusan. Ini tidak menguntungkan rakyat Sarawak,” katanya kepada pemberita di kediaman rasminya di sini malam tadi.

Taib berkata, pembangkang menyatakan bermacam-macam perkara untuk menang pilihan raya, tetapi rakyat Sarawak masih percayakan BN dan perasaan bersangka baik terhadap BN masih ada dalam kalangan kebanyakan rakyat.

“Ini semua propaganda… propaganda (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Dulu dia dakwa tsunami pilihan raya 2008… tetapi dia tak menang pun. Di Sarawak, dia cakap menang dan dah lantik ketua menteri,” katanya.

Taib berkata, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang ke seluruh pelosok Sarawak untuk berjumpa rakyat dan mendengar masalah mereka membawa kesan positif.

“Rakyat nampak Kerajaan Pusat beri perhatian lebih kepada Sarawak. PM pun tahu Sarawak perlu mempunyai dasar mengejar kemajuan untuk melaksanakan program NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) luar bandar yang meliputi kemudahan air, elektrik dan jalan,” katanya.

Ketua Menteri itu juga meyakinkan rakyat Sarawak bahawa Kerajaan Pusat berdiri di belakang Sarawak khususnya menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) untuk sama-sama membangunkan negeri dan membina lebih banyak infrastruktur.

Taib berkata, keputusan pilihan raya kali ini adalah sesuatu yang diduga berdasarkan keadaan semasa, tetapi apa yang penting BN tetap terus membentuk kerajaan untuk memajukan Sarawak.

Mengenai masyarakat Cina yang jelas lebih berpihak kepada DAP, beliau berkata, mereka perlu membuat keputusan sama ada untuk kekal dengan DAP atau akan terpinggir. — BERNAMA.

Komen & Pendapat

Leave a Reply