Perak Hari Ini

Sebarang bentuk MoU perlu dimaklumkan dahulu kepada kerajaan negeri: DS Zambry

Agensi kerajaan di Perak diberi amaran supaya memaklumkan dahulu sebarang bentuk memorandum persefahaman (MoU) kepada pihak kerajaan negeri terutamanya yang membabitkan isu sensitif, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, walaupun ia bukan satu perkara yang akan dilaksanakan kerana sekadar MoU, ia masih perlu dimaklumkan kepada kerajaan negeri oleh agensi bertanggungjawab.

“Soal tahu atau sebaliknya tidak timbul tetapi kita mahu sebarang MoU dimaklumkan kepada kerajaan apatah lagi jika ia membabitkan soal keselamatan rakyat.

“Saya telah mengarahkan kepada semua agensi kerajaan agar sebarang bentuk MoU hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

“Isu nadir bumi di Bukit Merah kini menjadi sebahagian permainan politik pembangkang dan seperti biasa, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin akan mengambil kesempatan untuk menggunakan isu ini bagi mengalih perhatian rakyat,” katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Jelasnya, yang lebih penting dan utama ialah soal keselamatan rakyat kerana isu nadir bumi bukan satu benda main-main kerana kerajaan negeri sudah menyatakan pendirian jelas terhadap projek itu.

Usaha pemulihan turut dilakukan di Bukit Merah dan bukan sewenang-sewanangnya kerajaan negeri boleh membangunkan projek pelaburan di situ tanpa memikirkan keselamatan rakyat, kata Zambry lagi.

Beliau mengulas laporan MoU membabitkan nadir bumi di Bukit Merah, iaitu lokasi yang pernah menjadi tapak pelupusan sisa radioaktif yang sehingga kini masih dibersihkan.

Semalam, Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Samsudin Hashim, berkata sehingga kini kerajaan negeri tidak memberi sebarang kelulusan bagi projek itu.

Sebaliknya MoU antara agensi itu dan CVM Mineral Limited (CVM) iaitu syarikat tempatan yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 18 April lalu, tidak mempunyai sebarang hubungan berkaitan projek dilaksanakan Mitsubishi Chemical’s Asian Rare Earth di Bukit Merah, dekat Lahat atau sebarang projek di kawasan sama.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu pencemaran alam sekitar di kawasan itu. Kedua-dua pihak sebaliknya menyedari isu sensitif pencemaran alam sekitar dan berusaha sebaik mungkin untuk mengelak daripada melakukan aktiviti sedemikian,” kata Samsudin.

Sementara itu, Zambry turut membidas tindakan pembangkang yang menggunakan isu terbabit bagi mengkritik kerajaan Perak dan meminta mereka mencari modal lain jika mahu menjadi juara rakyat.

“Pembangkang bukan memikirkan nasib rakyat tetapi lebih kepada mengambil kesempatan untuk menggunakan isu ini bagi mengalih perhatian rakyat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");