Berita Hari Ini

Tiada Apa Yang Pembangkang Boleh Tawarkan Kepada Sarawak, Kata Taib

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pembangkang tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada Sarawak, melainkan pembohongan dan menyebarkan janji palsu kepada rakyat.

Beliau berkata ini terbukti dalam janji yang terkandung dalam “Buku Jingga” yang menggariskan perkara yang akan dilakukan oleh pembangkang dalam masa 100 hari sekiranya mereka berkuasa.

“Janji-janji yang terkandung dalam buku itu semata-mata pembohongan memandangkan ia gagal menyatakan input bakat dan sumber dana bagi mereka melaksanakan program itu. Ia akan hanya menjadikan negara ini bankrap dalam masa tiga atau empat tahun,” katanya pada majlis “Berambeh Ngan Ketua Menteri Sarawak” (Sesi Bertemu Ketua Menteri) di Dewan MUC di sini.

Turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee, Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Seri Dr James Masing dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah.

Taib yang juga Pengerusi BN negeri, berkata tiada apa yang dapat ditunjukkan oleh pembangkang daripada segi tadbir urus negeri seperti Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, yang dikuasai mereka pada pilihan raya umum yang lepas.

“Jangan fikir rakyat Sarawak bodoh dan dapat ditipu silap mata. Budaya politik baru yang memaki, mencaci, melawan dan memesongkan perhatian rakyat,” katanya.

Ketua Menteri kemudian melancarkan manifesto BN dalam satu majlis ringkas di venue yang sama.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");