Berita Hari Ini

Tinggal Empat Hari Sebelum Pengundian, PM Semarakkan Kempen Pilihan Raya

Tinggal empat hari sahaja lagi sebelum hari pengundian, Barisan Nasional (BN) mara ke hadapan dengan mesej untuk mentransformasikan Sarawak apabila calon-calonnya memanfaatkan sepenuhnya masa yang tinggal untuk berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10.

Hari-hari mendatang akan menyaksikan parti-parti politik bermati-matian menambat hati pengundi, terutamanya golongan atas pagar dalam pilihan raya 16 April ini yang menyaksikan paling ramai calon bertanding dalam sejarahnya untuk merebut 71 kerusi yang dipertandingkan.

Turun padang untuk memberi sokongan kepada calon BN ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melakukan tinjauan mesra menemui penghuni rumah panjang untuk menjelaskan mengenai rancangan pembangunan kerajaan dan tindakan yang diambil bagi menangani isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Berucap lebih kepada 1,000 penduduk di Spaoh, kira-kira 50km dari Betong, Najib berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan besar bagi pembangunan Sarawak termasuk RM5.7 bilion di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi tempoh 2010-2012.

“Peruntukan bagi Sarawak adalah yang terbesar berbanding negeri-negeri lain. Di bawah konsep 1Malaysia, projek-projek yang dilaksanakan tidak berdasarkan kepada kumpulan etnik,” kata Perdana Menteri apabila menggariskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.

Membidas dakwaan yang dilemparkan pembangkang, Pengerusi BN berkata kerajaan telah mula menangani isu-isu NCR dengan memperuntukkan RM30 juta tahun ini dan jumlah yang sama pada tahun depan berbanding RM20 juta pada tahun lepas.

“Mereka (pembangkang) sepatutnya berpijak di bumi nyata bahawa kerajaan (pimpinan BN) tidak meminggirkan penduduk kawasan luar bandar berhubung tanah adat mereka,” kata beliau.

Muhyiddin membalas kembali putar belit parti lawan bahawa kedua-dua pemimpin utama negara berada di Sarawak kerana BN sudah hilang cengkaman dan keyakinan terhadap Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Itu perkara biasa. Lim Kit Siang buat apa? Anwar Ibrahim turun sampai 10 hari kenapa? Tak balik-balik. Dia dah tak percayakan Baru Bian (Ketua PKR Sarawak)?

“Tetapi kami dalam komponen BN, empat daripadanya berada di Sarawak, apakah itu tak logik Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN dan saya sebagai Timbalan Pengerusi turun membantu?,” tegasnya.

Lim, pemimpin veteran DAP, dan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan beberapa siri ceramah sejak minggu lepas. Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mendahului masa dengan menamakan Baru Bian, calon PKR di kerusi Ba’Kelalan, sebagai ketua menteri jika pembangkang membentuk kerajaan.

Terdahulu, Muhyiddin memulakan program tinjauan mesra beliau dengan meluangkan masa melawat Bintangor di mana beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan sungguh komited untuk mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat dan meminta mereka agar tidak terpedaya dengan pembangkang.

Kesibukan berkempen dikejutkan dengan insiden nahas udara apabila sebuah daripada tiga helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin melakukan tinjauan mesra di Bintangor, terhempas di Dataran Sibu lewat tengah hari ini selepas menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas Muhyiddin.

Juruterbang, Kapten Sahimi Razali, 38, yang bersendirian di dalam helikopter itu, mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus digegaskan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak, meluangkan masa berkempen bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Miri, di mana Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan mempertahankan kerusi Piasau.

“Apabila anda pergi mengundi, usah peduli kata-kata yang beracun ini. Saya dapat merasakan ada banyak racun di udara yang datangnya dari parti luar (pembangkang). Ayuh kita kekalkan kebersihan di Miri,” katanya ketika melancarkan Hotel Imperial Palace, yang dimiliki oleh syarikat pemaju hartanah tempatan, Boulevard Group of Companies, di sini.

Taib dan Dr Chan, kedua-duanya yang berusia lingkungan 70-an, menjadi sasaran kritikan pembangkang meskipun kedua-dua pemimpin utama Sarawak telah mengumumkan bahawa pilihan raya ini adalah kali terakhir mereka.

Dr Chan semasa membidas serangan DAP, berkata sementara beliau sudahpun mempunyai pelan peralihan kepimpinan, DAP bagaikan dinasti, merujuk kepada Lim, Pengerusi DAP Karpal Singh dan pengasas DAP Sarawak, Chong Siew Chiang dan anaknya, Chong Chieng Jien, yang juga Setiausaha DAP negeri.

Pada pilihan raya negeri kali ini, DAP bercita-cita menyingkirkan SUPP sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");