Perak Hari Ini

TLDM rai ulangtahun kedua Lumut Bandar Tentera Laut Ahad

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meraikan sambutan ulangtahun ke-2 pengisytiharan Lumut Bandar Tentera Laut yang disambut secara meriah Ahad ini.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk  Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 April jam 3.30 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Markas Armada, Lt Kdr Noorlida Rahaman, berkata pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang tiga hari tersebut.

“Antara aktiviti menarik yang akan diadakan sepanjang tiga hari tersebut adalah Pameran Maritim oleh unit-unit TLDM  seperti Pasukan Khas Laut dari KD Panglima Hitam, Unit Udara TLDM atau Markas Udara, Pusat Hidrografi Nasional, Persatuan Perahu Layar TLDM, KD Duyong atau Pusat Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM dan beberapa unit dan persatuan lain dari TLDM.

“Selain daripada unit TLDM, antara agensi luar yang akan turut serta dalam Pameran Maritim ini ialah Akademi Laut Malaysia (ALAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Pasukan Gerak Malaysia (PGM) dan Malaysian International Shipping Corporation atau MISC,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, orang ramai juga akan berpeluang menyaksikan Pertunjukan Kawad Senyap dari unit Provos Tentera Laut (PROTELA) dari Pangkalan TLDM Lumut, Persembahan Seni Mempertahankan Diri (SMD) Pencak Silat, taekwando dan judo daripada Persatuan SMD TLDM.

Pada sebelah malam pula, pengunjung akan disajikan dengan persembahan konsert mini oleh Badan Kesenian dan Kebudayaan  (BAKES) TLDM dan semua aktiviti terbabit berlangsung di kawasan Lumut Waterfront, Bandar Tentera Laut.

Pengisytiharan Lumut Bandar Tentera Laut disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 24 April 2009 sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke -81.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");