Perak Hari Ini

TNB bekal 100 megawatt elektrik di kilang lebur bijih besi

Mohd. Zahir Md. Nagor (duduk,tiga dari kiri) bergambar bersama petugas-petugas media Perak di Ipoh.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membekalkan sebanyak 100 megawatt tenaga elektrik untuk kegunaan kilang melebur bijih besi terbesar di negeri ini yang terletak di Teluk Rubiah, Manjung.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd. Zahir Md. Nagor berkata, projek bernilai lebih RM100 juta itu dijangka mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan.

Kata beliau, pihaknya akan memasang talian sepanjang 34 kilometer dari Pantai Remis ke Segari dan membina beberapa menara bagi menyalurkan bekalan elektrik ke kilang tersebut.

“Kita telah mengadakan beberapa perbincangan dalam usaha untuk membekalkan tenaga sejak dua tahun lalu. Bekalan elektrik yang disalurkan itu diperoleh dari Stesen Janakuasa TNB di Gerik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Tengah Hari TNB Bersama Media Perak di Restoran Pondok Padang di sini hari ini.

Kilang melebur bijih besi yang terbesar di negeri ini dijangka beroperasi pada Jun 2013.

Sementara itu, Mohd. Zahir berkata, TNB akan memasang 12,000 lampu jalan di 816 kampung di negeri ini tahun ini.

Menurut beliau, pemasangan dengan kos bernilai RM7.9 juta dan dibiayai oleh kerajaan negeri merupakan langkah tambahan kepada program yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Sebanyak 6,000 lampu sudah dipasang sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Katanya, di bawah KKLW, sebanyak 16,000 lampu jalan telah dipasang di seluruh negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Sumber : Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");