Isu Panas

Video seks: Jangan cemar institusi Parlimen atas nama imuniti, kata SAF

Saf Anti Fitnah (SAF) membantah keras idea agar rakaman video seks didedahkan “Datuk T” dua minggu lalu ditayangkan di Parlimen kerana ia akan mejadi prisiden untuk kes-kes masa depan.

Penyelarasnya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, SAF sangat kesal dengan segolongan mereka yang beria-ia benar untuk menjadikan fitnah seks sebagai isu yang diberi tumpuan terpenting dalam negara pada hal terlalu banyak isu nasional yang lain dan lebih penting harus dibahaskan.

Katanya, SAF sekali lagi mendesak isu video ini mesti ditangani berdasarkan saluran undang-undang yang jelas.

“SAF berpendirian isu video lucah di negara ini sudah sampai ke tahap paling menjijik dan memalukan rakyat dan negara.

“Lepas dari mahu mengenali siapa yang sebenarnya dalam video seks yang kini menjadi isu yang sehingga kini sudah hilang kawalan, nampaknya Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi medan membahaskan usul dan isu besar Negara kini mahu dijadi panggung wayang video seks,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau menyokong cadangan supaya rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang ditayangkan di Parlimen.

Nazri berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan Speaker Dewan Rakyat kerana hanya beliau mempunyai kuasa menentukan sesuatu keputusan dalam dewan.

“Tapi kita bimbang kalau benda ini ditayang, adakah ia akan melanggar undang-undang,” kata Nazri dipetik Bernama Online hari ini.

“Kalau nak tayang di Parlimen, di mana? Kalau di pekarangan Parlimen susah nak dapat imuniti, kena tanya speaker dulu sebab dia yang tentukan, tak payah buat usul, minta sahaja kepada speaker,” kata beliau.

Kelmarin, Pengerusi DAP Karpal Singh mencadangkan supaya rakaman video berkenaan ditayangkan di Parlimen.

Karpal berkata video itu perlu ditayangkan bagi membolehkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk semua ahli Parlimen mengenal pasti identiti individu lelaki dalam rakaman terbabit.

Mohd Azmi menambah bukan sahaja ia menjadi bahan berfikir yang sangat rendah, malah sekarang ia mahu dibawa ke Dewan Rakyat sebagai “satu mahkamah di luar dari proses undang-undang biasa.”

“Soalnya apakah undang-undang yang ada tidak cukup untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan sempurna.

“Ataukah memang isu ini mahu diperpanjang untuk memberi kesan yang dikehendaki oleh mereka yang berkonspirasi secara langsung atau tidak langsung,” kata Mohd Azmi lagi.

SAF, pertubuhan bukan kerajaan dilancarkan 26 Mac lalu, dianggotai Teras, Shura, Seniman Paksi Rakyat, ABIM, Persatuan Ulama Malaysia, Budayawan Bertindak, Salimah, Jawatankuasa Madrasah Tarbiyyah Kg Bandar Dalam Gombak, Persatuan Anak Melayu Selangor/Wilayah Persekutuan, Kelab Gadis Salimah, Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat, Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia, Pusat Tassawur Islam Perak, Jaringan Kuliah Dhuha Perak, Majlis Muafakat Pertubuhan-pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak.

Sehubungan itu, Mohd Azmi bertanya adakah pihak yang didakwa dalam video itu sedemikian merbahaya sehingga peribadi beliau mahu dihina sedemikian rupa.

“Adakah ini memberi makna pihak parti yang memerintah sudah muflis sehingga fitnah lucah dijadi senjata?” katanya lagi.

Mohd Azmi berkata, imej Malaysia akan dilihat sangat buruk di mata dunia bila wujudnya amalan persaingan politik yang sangat jijik dalam sejarah negara apabila undang-undang diketepikan hanya kerana peribadi musuh hendak diaibkan.

“Memindahkan isu video seks ke Parlimen bukan cara politik bertamadun tinggi. Malah, ia melambangkan kerosakan politik sampai ke peringkat sangat rendah, yang diheret pula ke dalam Dewan Rakyat untuk direkod sebagai insiden yang akan disaksikan oleh generasi mendatang,” katanya.

Malah kata beliau, saling cabar-mencabar dalam Parlimen untuk menyaksi video lucah menandakan kerendahan akal budi wakil rakyat ketika mereka dianggap sebagai insan yang mempunyai daya pemikiran dan budi tinggi.

“SAF menegaskan Malaysia mesti diselamatkan dari gaung kehinaan politik yang kini menjurus kepada tahap paling memualkan,” kata beliau.

Katanya, pihak yang beralasan bahawa wakil akyat terlindung dari undang-undang yang membolehkan mereka menonton video lucah sebenarnya dijangkiti penyakit barah politik “sampah” yang busuk dan hanyir.

“Bukan sahaja mereka mahu semuanya dihalalkan, malah permainan politik sudah tidak lagi dikawal oleh sebarang batas agama mahupun moral. Pokoknya apa sahaja boleh dilakukan demi mempertahankan kuasa,” katanya.

Kata Mohd Azmi, SAF memohon campur tangan Majlis Raja-raja Melayu untuk menghentikan kekotoran politik fitnah yang merosakkan dan merendahkan martabat bangsa.

“Raja-raja Melayu mempunyai hak bertitah menyekat kejelekkan politik kotor seperti ini,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");