Perak Hari Ini

300 golongan kurang bernasib baik terima sumbangan

Golongan kurang bernasib baik di negeri ini tidak pernah disisihkan apabila mereka menerima bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Selaras budaya kerajaan prihatin, seramai 300 golongan kurang bernasib baik di Perak menerima sumbangan daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Ipoh sebentar tadi.

Penerima terdiri golongan miskin, pesakit kronik dan ibu tunggal yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Majlis Jalinan Kasih anjuran Pejabat Menteri Besar, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Perak (BAIDURI) dan Majlis Pembangunan Masyarakat negeri Perak itu turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan nyanyian koir.

Terdahulu, Dr Zambry dalam ucapannya berkata, kasih-sayang adalah penawar kepada segala penyakit dan masyarakat perlu turut sama memainkan peranan dengan membantu golongan yang memerlukan.

Tambahnya, kerajaan negeri mahu menerapkan budaya prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa dan agama.

Sempena Hari Ibu yang disambut pada setiap 8 Mei, golongan itu, katanya sewajarnya mendapat kedudukan istimewa dan dihormati tanpa mengira masa.

Ujarnya, perbuatan tidak menghormati ibu satu tindakan tidak bermoral yang bukan sahaja ditegah oleh Islam tetapi juga agama lain.

“Jasa dan pengorbanan ibu sangat besar dan mereka adalah insan yang amat istimewa dalam kehidupan kita,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Maryam Syed Yusof, 63, dari Kampung Boyan, Taiping turut terharu dan melahirkan rasa syukur bagi pihak suaminya di atas sumbangan kerajaan negeri.

Suaminya, Zainuddin Ishak, 80, yang kini mengidap penyakit batu karang perlu segera dibedah manakala dua anak perempuannya juga disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

“Dengan sumbangan ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian kami sekeluarga,” katanya.

Bekas pesakit kanser payu dara, Wong Yoke Chan, 67, dari Pasir Puteh, pula berkata, seseorang itu perlu memiliki semangat juang yang tinggi untuk meneruskan kehidupan walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan.

“Saya kini sudah bebas sepenuhya daripada kanser walaupun ramai beranggapan pesakit kanser tidak boleh hidup lama selepas disahkan mengidap penyakit itu.

“Tetapi saya tidak mahu menyerah kalah dan berserah kepada takdir semata-mata dengan mendapatkan rawatan moden dan herba.

“Selain itu, saya juga menjadi sukarelawan Majlis Kanser Negara (MAKNA) dengan memberi khidmat nasihat kepada pesakit kanser agar mereka terus berjuang dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");