Sukan Hari Ini

Chong Wei raih gelaran keempat

Datuk Lee Chong Wei diuji dalam perlawanan mendebarkan, sebelum akhirnya merangkul kejuaraan keempat tahun ini pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka India dengan menundukkan jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade di New Delhi, semalam.

Selepas menang selesa dalam set pembukaan, jaguh No. 1 dunia itu tumpas di set kedua dan dipaksa mengharungi aksi mencemaskan di set ketiga, sebelum memenangi pertarungan sengit 21-12, 12-21, 21-15 dalam masa 1 jam, 2 minit.

Ini adalah kemenangan keempat Chong Wei sepanjang 2011 selepas turut menjuarai Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England.

Malah, jaguh negara itu berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam semua lima kejohanan yang disertai sejak Januari lalu, dengan turut muncul naib juara Terbuka Korea.

Malah, lebih manis lagi, kemenangan ini akhirnya menamatkan mimpi ngeri Chong Wei setiap kali berakhir di India, di mana dia mengalami keracunan makanan ketika tumpas kepada pemain China, Chen Long pada Terbuka India 2009, sebelum tunduk kepada Sony Dwi Kuncoro pada suku akhir Kejohanan Dunia di Hyderabad pada tahun yang sama.

“Ia adalah perlawanan yang sangat sengit, dan saya mula hilang tumpuan di set kedua. Bagaimanapun saya sudah menjangkakan cabaran getir bakal diberikan oleh Peter kerana dia merupakan pemain yang amat berpengalaman.

“Pada usia 34 tahun, Peter terbukti masih mampu bermain dengan mantap, malah dia tidak mengalah hingga ke akhir saingan. Begitupun, stadium ini amat bertuah bagi saya, dan harap saya dapat kembali ke India untuk Siri Super seterusnya,” kata Chong Wei, yang merangkul kejuaraan Terbuka India buat kali pertama untuk membawa pulang AS$15,000 (RM44,500).

Pada perlawanan semalam, Chong Wei mempamerkan aksi meyakinkan pada set pembukaan apabila memaksa Gade berlari ke seluruh gelanggang dengan kekerapan menghantar pukulan silang di depan jaring, selain sesekali melakukan smash kencang yang gagal diangkat lawan.

Bagaimanapun, keadaan berubah pada set kedua apabila dia seperti hilang fokus dan mula melakukan kesilapan demi kesilapan, malah pada satu ketika ketinggalan sehingga 10-17, sebelum akhirnya tumpas 12-21.

Gade, 35, yang memiliki rekod pertemuan yang buruk, 1-11 di tangan Chong Wei sejak 2007, meneruskan permainan garang memasuki set penentuan apabila mendahului 6-2, namun sebaik dia membenarkan Chong Wei mengejar 8-6, jaguh veteran Denmark itu tidak lagi mampu menyekat Chong Wei.

“Saya berdepan pemain terbaik dunia dan semuanya adalah tentang keyakinan. Apabila Chong Wei tampil dengan penuh yakin, memang dia tidak mudah untuk ditewaskan.

“Saya berpeluang untuk menang selepas menguasai set kedua, malah bermula baik di set penentuan. Saya berikan segalanya yang terdaya tetapi dia (Chong Wei) memang tidak mampu dikalahkan hari ini,” kata pemain No. 6 dunia, Gade.

Sementara itu, pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk melakar kejutan terbesar dalam perseorangan wanita apabila muncul juara selepas menumpaskan pilihan ketiga, Bae Youn Joo dari Korea Selatan, 21-13, 21-16.

Jepun dan Indonesia pula masing-masing mendominasi saingan beregu wanita dan campuran dengan menempatkan dua wakil mereka dalam perlawanan akhir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");