Sukan Hari Ini

Fujiwara tunjuk belang takluk ARRC

SEPANG – Pelumba berpengalaman Jepun, Katsuaki Fujiwara dalam penampilan pertamanya mengungguli kategori SuperSport 600cc pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2011 di Litar Antarabangsa Sepang semalam, menyaksikan dia menang kedua-dua perlumbaan dalam gaya berbeza.

Jika sewaktu Perlumbaan 1, penunggang No.37 pasukan Manual Tech Beet Kawasaki Racing itu diberi saingan sengit dua pelumba handalan Thailand, Chalermpol Polamai dan Decha Kraisart, sebelum berjaya memenanginya, namun lain pula ceritanya pada Perlumbaan 2.

Memasuki perlumbaan seterusnya, Katsuaki, 36, bekas pelumba Kejohanan Superbike Dunia, mempamerkan tunggangan mantap untuk menerajui sejak dari selekoh pertama lagi hingga ke garis penamat.

Perlumbaan 2 sebenarnya terhenti seketika hanya selepas satu pusingan apabila Chalermpol terbabas semasa membelok dan bendera merah dikibarkan.

Naib juara keseluruhan musim lalu itu dikejarkan ke hospital dan dikatakan mengalami patah tangan kanan.

Perlumbaan diteruskan kemudian dengan Katsuaki tidak terkejar oleh pencabar-pencabar lain, menjarakkan diri dengan jurang tujuh saat.

“Menyedari dua pelumba Thailand mungkin mengasak seperti mana dalam Perlumbaan 1, saya mendesak diri untuk pergi selaju mungkin dari mula.

“Talaan motosikal saya cukup sempurna… pasukan mekanik menyediakan motosikal yang cukup bagus untuk saya, terima kasih kepada mereka,” katanya yang kini mendahului senarai kedudukan mata dengan 50 mata hasil dua kemenangan yang dicatat semalam.

Decha yang merupakan juara bertahan SuperSport 600cc musim lalu berkata, dia tersentak selepas melihat rakan sepasukannya terbabit kemalangan menyebabkan dirinya hilang tumpuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");