Perak Hari Ini

Industri pembuatan Keris masih aktif

Keris merupakan antara senjata kebesaran yang digunakan pahlawan melayu dan pembesar sebagai lambang keagungan Kesultanan Melayu sejak 800 tahun lalu.

Mata keris yang lurus dan berlekuk-lekuk menunjukkan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya menambahkan lagi keunikkan seni tradisi warisan dahulu kala ini.

Walaupun keris kini tidak lagi digunakan sebagai senjata mempertahankan diri namun ia dilihat sebagai hasil kraftangan yang mampu memberi keuntungan lumayan kepada pengusahanya.

Nama Abdul Mazin Abdul Jamil 60 tahun atau Pak Mazin pandai besi sememangnya sinonim dengan peminat dan pengumpul senjata warisan itu samada di negeri Perak mahupun negeri lain.

Bakat membuat keris yang berkuali dengan ukiran yang unik membuat Pak Mazin menjalankan perusahaan membuat senjata warisan itu dibawah pemantauan Jabatan Kraftangan Malaysia.

Menjadikan Golok Daun Buluh Perak sebagai produk pertama ketika berusia 12 tahun Pak Mazin mula mempelajari kemahiran membuat keris dan kini menjadikan ia sebagai sumber pendapatannya.

Walaupun pada tahun 1970-an perusahaan milik Pak Mazin hanya membuat golok dan parang yang dijual dengan harga sekitar RM 15.00 sehingga RM 25.00 namun kemahirannya itu menjadikan dia nekad untuk terus berada dalam bidang tersebut.

Disebabkan kerja-kerja pembuatan keris memerlukan kemahiran yang tinggi ia memperuntukkan masa hampir 5 tahun untuk Pak Mazin mempelajari dan menghasilkan keris yang berkualiti.

Oleh kerana ketika itu pembuatan keris dilakukan secara tradisional keseluruhannya membuatkan Pak Mazin hanya dapat menghasilkan satu atau dua sahaja kraftangan istimewa itu dalam sebulan.

Harga keris yang berkualiti boleh dilihat melalui kesebatian campuran besi dimana ia akan menghasilkan corak yang menarik dan unik bagi setiap keris.

“Pertama sekali saya belajar membuat golok… golok perak… golok perak daun buluh… itu memang Perak punya dan di Kampung Baru Changkat ni lah asal nya…golok perak daun buluh dan beberapa jenis golok di negeri Perak.

“Kalau goloknya 7 jenis golok dan parangnya 7 jenis parang yang berbagai guna dan berbagai bentuk dia… mengikut daripada ayah saya ada 7 jenis besi yang berpangkal dari hurif ‘P’… huruf ‘P’ ini seperti paku, pahat, paying, pagar, putting, pisau dan pencebor.

Gabungan keunikkan campuran kesemua tujuh jenis besi dan kehalusan ukiran hulu keris itulah yang menjadikan industri pembuatan senjata warisan ini terus berkembang maju sebagai kraftangan.

Kini berkat usaha selama 20 tahun Pak Mazin mampu menyediakan lebih 4 keris setiap bulan dengan harga yang lebih tinggi bergantung kepada saiz serta reka bentuk pelanggannya.

Dengan menggunakan kayu berkualiti dari masyarakat tempatan kampong itu ukiran hulu dan sarung keris akan lebih menarik tanpa mencacatkan nilai warisan Melayu.

Walaupun keris sememangnya simbolik dengan warisan melayu namun jelas Pak Mazin sebagai salah satu kraftangan warisan negara keris turut ditempah dikalangan pelanggan antarabangsa.

Ini membuatkan pasaran keris buatan Pak Mazin semakin berkembang dan kini harganya menjangkau antara RM500 sehingga RM 5,000 sebilah.

Pak Mazin yang hanya membuat keris berdasarkan tempahan mampu mengaut keuntunggan kasar setinggi RM5,000 sebulan tidak termasuk hasil penjualan golok dan parang.

Apa yang Pak Mazin harapkan kini hanyalah perusahaan membuat keris itu terus berkembang di negara ini bagi membolehkan ia tidak terpupus.

“Saya nak perkembangkan benda ni bagi dia orang minat… tahu asal usul keris ni… daripada proses dia membuat dan memakai dia.” katanya

Bagi merealisasikan hasratnya itu Pak Mazin sendiri telah melatih golongan muda yang berminat untuk mempelajari proses-proses menghasilkan keris di bengkel di Kampung Baru Changkat, Kuala Kangsar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");