Perak Hari Ini

MBI guna CCTV bergerak kesan vandalisme

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan kedua di negara ini menggunakan kemudahan kamera litar tertutup bergerak atau mudah alih untuk mengawasi dan merakamkan perbuatan negatif seperti vandalisme di stadium bola sepak atau kawasan tumpuan ramai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata kemudahan itu membabitkan penggunaan van dengan keseluruhan dianggarkan bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000 setiap set.

Katanya, kemudahan itu yang sudah diperkenalkan di Melaka juga menjadi sebahagian daripada inisiatif bandar selamat.

“Pada ketika ini, kita sedang menunggu taklimat dan cadangan mengenai penyediaan kemudahan itu daripada sebuah syarikat.

“Kemudahan ini boleh digerakkan ke mana saja termasuk stadium dan majlis keramaian, berpotensi merakamkan perbuatan vandalisme atau jenayah kecil,” katnya kepada pemberita di Ipoh baru-baru ini.

Roshidi berkata, CCTV bergerak akan dihubungkan dengan bilik kawalan MBI yang turut memantau CCTV statik dipasang PBT itu sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, MBI tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tidak berlesen yang menjual pelbagai makanan dan permainan di luar pagar sekolah.

Katanya, jika tindakan yang diambil sebelum ini lebih menjuruskan kepada isu lesen, kali ini PBT itu juga mengambil tindakan atas kesalahan menjual bahan makanan yang dilarang.

“Kita sedang menunggu senarai bahan makanan dilarang dijual di luar pagar sekolah daripada kementerian berkaitan. Sebaik menerima senarai itu, tindakan akan diambil atas dua kesalahan iaitu tiada lesen dan menjual bahan makanan yang dilarang,” katanya.

-BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");